Monday, June 12, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 2: Kristal Rembau, Muzium Kapal Selam & Dataran 1Malaysia / Rembau Crystal, Submarine Museum & 1Malaysia Square

Salam sejahtera dan selamat berpuasa.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terlalu lama tertangguh untuk menulis episod kedua siri entri FTRoadpedia Zon Selatan ini, berikutan kesibukan kerja. Episod kedua siri entri FTRoadpedia Zon Selatan kali ini lebih santai. Untuk episod kedua kali ini, saya tidak akan membawakan kepada anda sebarang reviu jalan raya, memandangkan laluan yang digunakan kali ini merupakan jalan-jalan yang sudah pun dicuba, iaitu Jalan Seremban-Tampin FT1, Lebuh AMJ FT19 dan Jalan Melaka-Port Dickson FT5. Sebenarnya, memang ada dua laluan baharu yang kami gunakan, iaitu Jalan Tanjung Minyak FT140 dan Jalan Batang Tiga M9, tetapi hanya sekerat-sekerat sahaja - saya tidak berminat menghasilkan reviu jalan raya yang hanya sekerat-sekerat sahaja.

Dalam entri kali ini, saya ingin bawakan kepada anda satu lokasi menarik yang entah macam mana saya boleh terlepas pandang semasa reviu Jalan Seremban-Tampin FT1 pada tahun 2013. Lokasi yang saya maksudkan itu ialah Rembau Crystal yang terletak betul-betul di tepi Jalan Seremban-Tampin FT1, betul-betul selepas jejambat kereta api di pekan Rembau jika datang dari arah Seremban. Macam mana saya boleh tak tahu selama ini...? Sekurang-kurangnya, saya sudah pun tahu sekarang melalui jelajah FTRoadpedia Zon Selatan kali ini.

Sebenarnya, Rembau Crystal sudah lama bertapak di Rembau sejak 2007. Ia merupakan anak syarikat Yayasan Negeri Sembilan hasil usaha sama dengan HM Crystal Sdn. Bhd. dengan matlamat bagi menjadikan Rembau sebagai daerah pengeluar utama produk-produk berasaskan kristal di Negeri Sembilan, selaras dengan slogan "1 Daerah, 1 Industri".

Di situ turut diadakan demonstrasi bagaimana produk berasaskan kristal dihasilkan. Caranya lebih kurang sama seperti bagaimana kraftangan berasaskan kaca dihasilkan secara manual. Apa tidaknya, kristal yang sering digunakan bagi menghasilkan produk cenderahati dan hiasan ini sebenarnya merupakan sejenis kaca yang dikenali sebagai kristal kaca. Kristal kaca berbeza daripada kaca biasa dari segi komposisinya, yang menjadikan kristal kaca berkilauan serta mempunyai indeks pembiasan yang lebih tinggi daripada kaca biasa.

Dua jenis demonstrasi yang ditunjukkan, iaitu demonstrasi meniup kristal dan demonstrasi menghasilkan produk kristal daripada rod kristal kaca. Kedua-duanya memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi bagi memastikan hasil akhir berkualiti tinggi. Bukan sebarangan orang yang berupaya melakukannya, jadi para pekerja di sini telah pun menjalani latihan intensif sebelum mereka bekerja di sini. Sesudah sesi demonstrasi, kami bergambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka.

Seterusnya, destinasi kami yang seterusnya ialah Masjid Batang Tiga untuk solat Zuhur dan makan tengah hari. Untuk ke sana, kami menggunakan Lebuh AMJ FT19, Jalan Tanjung Minyak FT140 dan Jalan Batang Tiga M9. Ketibaan kami disambut oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Harun. Untuk pengehuan anda, masjid ini sebenarnya baru sahaja siap pada 13 April 2017.

Selepas solat dan makan tengah hari, satu sidang akhbar diadakan. Dalam sidang akhbar yang diadakan itu, seperti biasa Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menggunakan kesempatan tersebut untuk mempromosikan jalan persekutuan sebagai laluan utama kembara pelancongan secara santai serta inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan bagi menambah baik jalan persekutuan sedia ada melalui naik taraf dan pelebaran jalan persekutuan, di samping pembinaan beberapa persimpangan bertingkat di laluan sibuk bagi menggantikan persimpangan searas. Semua ini dilakukan agar dapat menarik minat pengguna jalan raya untuk kembali menggunakan jalan persekutuan sebagai jalan raya utama di samping membela nasib para penduduk di sepanjang jalan persekutuan yang menjadikan pengguna jalan persekutuan sebagai punca rezeki.

Destinasi seterusnya ialah di Dataran 1Malaysia di Pantai Klebang, Melaka. Dataran 1Malaysia sangat terkenal kerana terdapatnya Muzium Kapal Selam, selain lokasi asal Kuih Keria Antarabangsa dan juga Coconut Shake Klebang. Apa pun, sebelum itu kita serbu dahulu ke Muzium Kapal Selam.

Muzium Kapal Selam merupakan sebuah muzium yang dibina dengan menggunakan kapal selam jenis HMD Ouessant Agosta 70 terpakai yang pernah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai persiapan bagi mengendalikan kapal selam pertama milik TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman. Kali terakhir kapal selam itu digunakan ialah pada Julai 2009 oleh TLDM dan Tentera Laut Perancis. Setelah dinyahwartakan, kerajaan Malaysia meminta kebenaran daripada kerajaan Perancis untuk memiliki kapal selam lama yang sudah tidak digunakan lagi untuk dijadikan sebagai muzium. Muzium Kapal Selam dibuka kepada orang ramai pada 22 November 2011 dan diuruskan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Selain kapal selam, turut dipamerkan di muzium tersebut ialah dua buah pesawat tentera yang pernah digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Setelah puas melawat muzium, kami mengambil kesempatan menikmati Kuih Keria Antarabangsa dan Coconut Shake Klebang, dua produk makanan yang sering ditularkan di media sosial. Kuih Keria Antarabangsa begitu masyhur sehingga ke tahap ia diangkat sebagai salah satu produk pelancongan oleh kerajaan negeri Melaka sendiri. Apa yang menjadikan Kuih Keria Antarabangsa begitu terkenal...? Jika kuih keria biasa menggunakan gula putih biasa yang disira padanya, Kuih Keria Antarabangsa pula mengunakan gula Melaka bagi menggantikan gula putih biasa, memberikan rasa yang begitu unik berbanding kuih keria biasa. Kenapa pakai gula Melaka...? Jawapannya mudah sahaja - menurut penciptanya iaitu Pak Haji Jalil Tompang, beliau menggunakan gula Melaka sebagai usaha memartabatkan gula Melaka yang merupakan produk makanan terkenal negeri Melaka.

Diceritakan bahawa Pak Haji Jalil asalnya merupakan seorang nelayan biasa yang pendapatannya tidak menentu sekitar empat dekad lalu. Setelah usaha beliau meningkatkan pendapatan sebagai seorang nelayan menemui jalan buntu, beliau mendapat ilham untuk menjual kuih keria setelah setelah melihat ibunya menghidangkan keria kepadanya. Daripada situlah beliau belajar cara-cara membuat kuih keria daripada ibunya, dan seterusnya mengubahsuai resepi kuih keria yang dibuatnya dengan menggantikan sira gula putih biasa dengan gula Melaka. Hasilnya sangat mengejutkan, kuih keria yang dijualnya menjadi tular dan beliau kini menjadi jutawan dengan hanya menjual kuih keria sahaja.

Setelah puas bersantai di Pantai Klebang, kami menuju ke hotel penginapan kami di Hotel Swiss Garden Melaka untuk bersiap-siap sebelum acara sebelah malam. Di sebelah malamnya, kami ke Restoran Melayu Melaka untuk majlis makan malam serta persembahan selamat datang oleh Institut Kesenian Melaka. Turut hadir dalam majlis makan malam tersebut ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun. Jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Idris, kerajaan negeri Melaka serta wakil-wakil dari JKR Melaka atas layanan terbaik yang diberikan sepanjang kami di Melaka. Sebelum kami menutup diari hari pertama FTRoadpedia Zon Selatan, kami dibawa menaiki bot menyelusuri Sungai Melaka, di mana pemandu pelancong kami merupakan orang Portugis Melaka. Nak saya bercerita lagi mengenai Melaka River Cruise...? Tak perlulah kerana ceritanya sama seperti semasa siri reviu Melaka Bandaraya Bersejarah 2014, jadi biarlah gambar bercerita bagi pihak saya.

Bot yang kami naiki berlabuh betul-betul di hadapan hotel penginapan kami, jadi masa untuk pulang ke bilik penginapan masing-masing untuk melelapkan mata. Esoknya kami perlu bangun awal kerana jadual kami untuk hari kedua FTRoadpedia Zon Selatan sangat sibuk - kami ke Pontian melalui Jalan Melaka-Muar FT5, Jalan Pintasan Muar FT224, Jalan Muar-Batu Pahat FT5, Jalan Batu Pahat-Pontian FT5, seterusnya melencong ke Tanjung Piai melalui Jalan Kukup FT95, Jalan Serkat J111 dan Jalan Tanjung Piai J48, dan akhir sekali kami terus ke Johor Bahru melalui Jalan Johor FT5, Lebuhraya Pontian FT5, Lebuhraya Skudai FT1 dan Jalan Skudai J1.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri Jalan Melaka-Muar FT5 dan Jalan Padang Temu M100.






Rembau Crystal Village terletak betul-betul di tepi Jalan Seremban-Tampin FT1 sebelum jejambat kereta api - macam mana saya boleh tak perasan selama ini...?




Bahagian hadapan Rembau Crystal Village




Demonstrasi produk kristal dengan cara meniup kristal kaca panas...




...dan daripada rod kristal kaca




Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama pihak pengurusan Rembau Crystal Village




Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Ir. Idris Harun bersalaman dengan penduduk tempatan di Masjid Batang Tiga




Jom kita masuk ke Muzium Kapal Selam




Bilik torpedo - hmm nak tembak siapa ya...?




Paparan jenis CRT yang kelihatan sungguh old-school tatkala industri sudah berhijrah kepada penggunaan skrin LCD dan skrin sentuh




Antara suis-suis kawalan dalam kapal selam lama ini




Bilik kawalan




Bilik tidur kru kapal selam tidaklah seluas bilik tidur di rumah biasa




Tidur di atas ruang makan merupakan perkara lumrah dalam hidup seorang tentera laut di dalam kapal selam




Pegawai tinggi tentera dapatlah juga merasa tempat tidur yang lebih selesa sedikit




Dalam tandas kapal selam




Beginilah rupa dapur dalam kapal selam




Bahagian belakang kapal selam Agosta kelas 70 yang dijadikan muzium ini menunjukkan baling-baling yang menggerakkannya




Keratan akhbar mengenai Muzium Kapal Selam




Latar belakang sejarah kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 yang dijadikan Muzium Kapal Selam ini




Spesifikasi teknikal SMD Ouessant Agosta 70




Keratan rentas kapal selam SMD Ouessant Agosta 70




Muzium Kapal Selam ini turut mempamerkan pesawat tentera yang pernah digunakan oleh TUDM




Satu lagi pesawat yang dipamerkan




Jom pekena Kuih Keria Antarabangsa
















Menyelusuri Sungai Melaka menaiki bot
(sila baca entri Melaka River Cruise dalam siri entri Melaka Bandaraya Bersejarah 2013)

No comments:

Post a Comment

Advertisement