Tuesday, December 13, 2016

Blog Jalan Raya Malaysia Mahukan Anda...!!! / Malaysian Highway Blog Wants You...!!!




Salam sejahtera,

Buat pertama kalinya dalam tempoh 5 tahun sejak Blog Jalan Raya Malaysia mula diwujudkan, kami mengadakan pengambilan bagi sepasukan admin pelapis bagi meneruskan perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia. Ia susulan pemergian mengejut admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia, Admin Aiman Abmajid pada 10 Disember 2016, yang merupakan satu-satunya admin kedua yang dilantik sendiri oleh admin utama merangkap pengasas Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Admin Hezery. Pelantikan admin pelapis ini sangat penting bagi meneruskan kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Aiman yang ingin melihat rakyat Malaysia menyayangi dan memartabatkan jalan raya Malaysia.

Bagi pengambilan admin baharu kali ini, kami memerlukan sepasukan dan bukannya seorang admin bagi membantu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Aiman. Sebabnya ialah saya faham bahawa adalah sangat sukar untuk mencari seorang peminat jalan raya yang sangat berdedikasi seperti Aiman, yang berupaya melakukan sekurang-kurangnya berbelas suntingan rencana Wikipedia dalam sehari, yang mampu menggeledah gambar-gambar bersejarah di banyak perpustakaan untuk dikongsi bersama, serta berupaya menggeledah pelbagai sumber maklumat jalan raya di merata tempat. Justeru, jika seorang admin baharu tidak berupaya untuk setanding dengan Aiman sekalipun, saya tetap percaya bahawa sekumpulan admin pelapis yang berdedikasi berupaya bukan sahaja untuk setanding dengan Aiman, malah mendahuluinya.




Mungkin seorang admin pelapis baharu sahaja tidak akan dapat menandingi Aiman...




...tetapi jika beberapa orang admin pelapis bersatu, mereka bukan sahaja boleh setanding dengan Aiman, malah mendahuluinya


Tugas-tugas admin Blog Jalan Raya Malaysia termasuklah (tetapi tidak terhad kepada):-

  1. Berkongsi maklumat menarik mengenai jalan raya di laman Facebook kami - merupakan tugasan yang paling senang. Apa yang diperlukan hanyalah berkongsi setiap pautan rencana, gambar atau video yang menarik mengenai jalan raya mahupun pengangkutan awam di Malaysia atau seantero dunia untuk dikongsikan bersama-sama peminat kami. Ada kalanya, kami menggunakan tagline tertentu bagi melabelkan kategori rencana seperti berikut:-
    • Dari Kota Singa - mengenai jalan raya dan pengangkutan awam di Singapura
    • Nostalgia - gambar-gambar atau rencana bersejarah mengenai jalan raya di Malaysia
    • Seantero - fakta-fakta menarik mengenai rangkaian jalan raya global (selain Singapura dan Amerika Syarikat)
    • Dari Negara Pakcik Sam - fakta-fakta menarik mengenai rangkaian jalan raya di Amerika Syarikat
    • Apa Kejadahnya - isu-iso kontroversi mengenai jalan raya serta tingkah laku segelintir pengguna jalan raya
  2. Menghasilkan reviu jalan raya - juga merupakan satu lagi bentuk tugasan yang mudah. Dengan hanya bermodalkan kamera telefon pintar, anda hanya perlu mengambil gambar-gambar menarik mengenai jalan raya yang anda cuba serta menulis reviu menarik mengenai jalan tersebut. Oh ya, memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia mendidik masyarakat agar mengamalkan penggunaan kod laluan, maka saya mewajibkan semua admin untuk menggunakan kod laluan dalam semua reviu yang dihasilkan. Reviu tersebut kemudiannya diterbitkan dalam laman Blog Jalan Raya Malaysia dan pautannya dikongsikan ke dalam laman Facebook kami.
  3. Menghadiri majlis, program atau undangan anjuran Kementerian Kerja Raya - seperti yang anda semua sedia maklum, Blog Jalan Raya Malaysia bernaung di bawah payung Rakan KKR yang turut menghimpunkan kesemua laman sekutu kami. Justeru, adalah menjadi kewajipan bagi admin-admin Blog Jalan Raya Malaysia untuk menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh KKR, kerana BJRM bertindak sebagai perantara bagi kerajaan dan rakyat. BJRM bersekutu dengan KKR kerana kami mahu suara rakyat mengenai isu-isu jalan raya diambil perhatian oleh kerajaan, serta membolehkan dasar-dasar kerajaan mengenai jalan raya negara sampai kepada rakyat.
  4. Membuat kajian serta berkongsi maklumat mengenai kejuruteraan jalan raya kepada pembaca dalam bahasa yang paling mudah untuk difahami - yang ini satu tugasan yang sukar kerana memerlukan pemahaman yang tinggi terhadap ilmu kejuruteraan jalan raya. Hendak mempelajarinya itu satu hal, dan hendak menerangkan kepada orang lain pun satu hal juga, jadi buat masa ini biarlah saya selaku admin utama menggalas tugasan ini. Pun begitu, semua admin pelapis perlu belajar mengenai ilmu kejuruteraan jalan raya supaya mudah untuk menerangkan kepada orang ramai. Kajian boleh dilakukan dengan banyak membaca di perpustakaan, khususnya di Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN).
  5. Menjadi "tentera" Wikipedia - bunyinya seperti agak sukar kerana melibatkan pengekodan, tetapi selepas anda mempelajarinya ia bakal jadi makanan asasi anda sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Aiman sebelum ini. Penggunaan kod wiki boleh dipelajari dengan mudah; saya pun boleh ajar anda kerana saya juga merupakan salah seorang sysop (penyelia) Wikipedia Bahasa Melayu. Dengan mempelajari kod-kod wiki, maka rencana-rencana jalan raya Malaysia di Wikipedia dapat diperkemaskan, diperbaiki kelemahannya serta ditambah baik dengan sumber rujukan yang lengkap. Lagipun, salah satu tujuan utama Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan pun ialah bagi membentuk satu sumber maklumat sahih bagi membantu mendapatkan rujukan bagi rencana-rencana jalan raya Malaysia di Wikipedia.
  6. Tugas-tugas kecemasan - misalnya seperti ketika laman Facebook kami digodam. Jika situasi sebegitu berlaku, peranan admin-admin yang lain amat perlu bagi membolehkan hak pengurusan laman Facebook yang digodam dikembalikan semula.

Jadi siapakah yang layak menjadi admin di Blog Jalan Raya Malaysia ini...? Sesiapa sahaja peminat jalan raya yang berdedikasi layak untuk menjadi admin di Blog Jalan Raya Malaysia. Di Blog Jalan Raya Malaysia, kami lebih memandang minat dan dedikasi yang tinggi berbanding kelulusan akademik. Tiada gunanya jika anda memiliki PhD dalam bidang kejuruteraan jalan raya tetapi anda tiada minat langsung dalam mengkaji jalan raya Malaysia. Untuk makluman, saya serta Allahyarham Aiman berkelulusan dalam bidang lain dan tidak memiliki sebarang ijazah dalam bidang kejuruteraan jalan raya, tetapi kami menulis dalam blog ini atas dasar minat yang mendalam terhadap jalan raya Malaysia. Jika anda mampu melakukan sekurang-kurangnya dua daripada tugasan yang saya nyatakan di atas, anda layak untuk memohon; semakin banyak bidang tugasan yang boleh anda laksanakan, semakin tinggi kelayakan anda untuk memohon sebagai admin.

Namun demikian, kami sama sekali tidak menggalakkan kakitangan kerajaan khususnya daripada KKR dan agernsi-agensi di bawahnya untuk memohon menjadi admin Blog Jalan Raya Malaysia. Kenapa pula, bukankah BJRM bersekutu dengan KKR...? Sebabnya tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menjaga integriti kakitangan kerajaan khususnya daripada KKR mahupun agensi-agensi di bawahnya. Harus diingat bahawa ada kalanya kami tidak sependapat dengan KKR mengenai beberapa isu [misalnya, kami menbantah rancangan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE)], jadi jika admin yang menulis mengenai isu tersebut terdiri daripada kakitangan kerajaan khususnya KKR, maka tindakan tatatertib boleh diambil ke atasnya kerana enggan melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Sebagai kakitangan kerajaan, anda harus ingat bahawa tugas utama anda ialah melaksanakan segala dasar kerajaan walaupun ada dasar yang anda tidak bersetuju, kerana kakitangan kerajaan merupakan kumpulan pelaksana dasar kerajaan. Selain itu, penjawat awam juga tidak dibenarkan untuk mengeluarkan kenyataan bagi isu-isu di luar skop tugas masing-masing.

Berminat...? Sila PM kami melalui laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia. Mereka yang terpilih akan disenarai pendek melalui tugasan-tugasan yang akan diumumkan kelak.

No comments:

Post a Comment