Tuesday, February 16, 2016

Sasaran "sifar jalan berlubang" - bolehkah ia dicapai...? / "Zero pothole" target - is it achievable...?




Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) kini mensasarkan untuk mencapai sifar jalan berlubang di semua jalan persekutuan dan jalan negeri bermula tahun 2016. Pengumuman tersebut adalah susulan daripada pengumuman sama oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seminggu yang lalu, yang mana DBKL mensasarkan jalan-jalan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bebas daripada sebarang lubang menjelang tahun 2017.

Persoalannya sekarang ialah adakah pengumuman berani mereka ini benar-benar boleh dicapai ataupun sekadar sembang sahaja...?

Di sebelah pihak KKR, Datuk Seri Fadillah begitu yakin dapat membanteras jalan berlubang di sepanjang ratusan ribu km rangkaian jalan persekutuan dan negeri kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR). Dari mana datangnya keyakinan yang sebegitu tinggi ini...? Keyakinan tersebut datang daripada pelbagai inisiatif yang diambil oleh KKR selama ini. Datuk Seri Fadillah mendakwa bahawa KKR mempunyai pasukan auditnya sendiri untuk memantau keadaan jalan serta mengarahkan syarikat konsesi membaiki segera jalan yang dikenalpasti rosak dalam masa 24 jam bagi kerosakan kecil. Selain itu, KKR juga menubuhkan Rakan KKR yang turut berfungsi sebagai "mata dan telinga" kepada KKR berhubung masalah jalan berlubang agar ia dapat diatasi segera. Melalui inisiatif Rakan KKR ini, KKR mendekati saya, kumpulan motosikal Ikatan Silaturrahim Brotherhood serta para pejuang jalan raya yang lain agar dapat menjalinkan kerjasama bagi memerangi jalan berlubang ini. Namun, inisiatif terbaik yang diambil oleh KKR dalam menangani isu jalan berlubang ialah aplikasi Aduan Jalan KKR yang saya sifatkan sebagai paling inovatif.

Nanti sekejap... mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa pembaikan jalan dilakukan oleh syarikat konsesi dan bukannya oleh JKR...? Sebenarnya, JKR masih menyelenggara jalan, tetapi penyelenggaraan bagi kebanyakan jalan persekutuan jarak jauh utama diambil alih oleh syarikat-syarikat konsesi penyelenggaraan yang dilantik oleh KKR. Ia sekaligus meringankan beban kerja JKR yang juga bertanggungjawab menyelenggara bangunan-bangunan kerajaan serta infrastruktur awam yang lain seperti jejantas, masjid, sekolah, hospital, balai polis dan balai raya. Sistem konsesi ini juga sebenarnya satu inisiatif penambahbaikan bagi mengatasi masalah jalan lambat dibaiki akibat kerenah birokrasi.

Melalui sistem konsesi ini, segala aduan pengguna serta hasil pemantauan oleh JKR sendiri dihimpunkan dan disampaikan kepada syarikat-syarikat konsesi mengikut kawasan yang telah ditetapkan. Seterusnya, syarikat konsesi akan membaiki jalan yang rosak dengan menggunakan duit mereka sendiri dahulu. Seterusnya, kos pembaikan jalan akan dibilkan dan dihantarkan kepada KKR, yang mana KKR akan membayar terus kepada syarikat-syarikat konsesi tersebut. Hasilnya, tiada lagi kerenah birokrasi sehingga membawa kepada alasan "tiada peruntukan" yang sering didendangkan oleh sesetengah JKR daerah sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati akan kelambatan atau ketiadaan tindakan pembaikan jalan. Justeru, saya ingin mengingatkan kepada pejabat-pejabat JKR daerah agar tidak lagi menggunakan alasan "tiada peruntukan" kerana semasa Kursus Pemantapan Media Sosial KKR 2016, Datuk Seri Fadillah telah menyatakan bahawa beliau tidak lagi mahu mendengar alasan "tiada peruntukan" didendangkan kepada pengadu kerosakan jalan. Ia disaksikan sendiri oleh Dato' Ir. Dr. Roslan Md. Taha, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Encik Lando Zawawi bagi mewakili Brotherhood, serta saya sendiri selaku penulis Blog Jalan Raya Malaysia.

Untuk pengetahuan anda juga, syarikat-syarikat konsesi penyelenggaraan tersebut telah ditetapkan kawasan masing-masing dan dilantik oleh KKR melalui sistem cabutan undi. Dengan kata lain, syarikat-syarikat konsesi penyelenggaraan ini sebenarnya tidak kekal; mereka boleh ditamatkan kontrak pada bila-bila masa sekiranya KKR tidak berpuas hati akan mutu kerja ataupun kelambatan tindakan pembaikan yang diambil.

Itu baru cerita di sebelah KKR pula, Bagaimana pula dengan DBKL...? Jabatan yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan jalan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah jalan persekutuan ialah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL. Menurut Timbalan Ketua Pengarah jabatan tersebut iaitu Encik Sabudin Mohd. Salleh, DBKL telah membaiki 13.612 lubang di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang tahun 2015, dan bagi Januari 2016 sahaja sudah 1,153 jalan berlubang sudah ditampal. Selain itu, jabatan tersebut juga telah menjalin kerjasama dengan Brotherhood sejak cerita Brotherhood menampal jalan KL menjadi heboh pada penghujung 2014.




Kepada Syabas, siapa ajar anda mengorek lurang kubur baru di tengah-tengah jalan raya...? Adakah anda tiada rasa hormat akan nyawa pengguna jalan raya...? Sudahlah gali lubang puaka di tengah-tengah jalan, dibiarkannya pula tanpa diturap kembali dengan sempurna.


Sekarang setelah mendengar sendiri cerita daripada kedua-dua KKR dan DBKL, adakah sasaran "sifar jalan berlubang" itu boleh dicapai...? Jawapannya memang boleh, tetapi masih ada banyak isu yang perlu ditangani terlebih dahulu sebelum saya benar-benar yakin akan kesungguhan kedua-dua pihak:-

  1. Isu aduan kerosakan jalan raya ditendang seperti bola masih lagi kedengaran, dan isu inilah yang membuatkan saya berasa amat tidak berpuas hati. Terdapat segelintir PBT dan pejabat JKR daerah yang menendang aduan kerosakan jalan raya seperti bola. Bila lapor jalan rosak kepada PBT, PBT kata itu bukan jalannya dan menyuruh pengadu melaporkan kepada JKR. Bila ke pejabat JKR daerah pula, JKR kata bukan jalannya dan pengadu kena tendang ke PBT lagi. Apa salahnya kedua-dua pihak terima sahaja aduan kerosakan jalan tidak kira jalan JKR ataupun PBT...? Sama jugalah seperti kes jalan susur Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa di Lebuhraya Duke E33, yang mana ada di antara jalan susur di persimpangan tersebut merupakan milik DBKL dan bukannya Duke. Jadi apa patut dilakukan...? Letakkan papan tanda had sempadan penyelenggaraan dengan terang dan jelas; kalau hilang, gantikannya segera.
  2. Isu lurang (manhole) oleh syarikat-syarikat utiliti masih lagi gagal ditangani sehingga sekarang, yang mana saya menyalahkan syarikat-syarikat utiliti 100% atas keculasan mereka sendiri. Apa tidaknya, bila JKR atau PBT turap jalan, syarikat utiliti korek balik pula. Sebab itulah lubang manhole sudah bertukar menjadi lubang kubur. Kalau mereka naikkan kembali penutup lurang, ia dinaikkan sehingga menjadi batas kubur pula. Kedua-duanya sama-sama berbahaya, boleh menjahanamkan tayar, boleh mematahkan rim tayar dan juga berpotensi untuk menyembelih nyawa pengguna jalan raya yang tidak bernasib baik khususnya penunggang motosikal. Namun, satu perkara yang paling menyakitkan hati saya ialah mereka boleh buat lubang-lubang puaka baharu di tengah-tengah jalan raya pula tu. Kalau lurang lama tu logik jugalah kerana lurang tersebut asalnya terletak di tepi jalan, tetapi sudah beralih ke tengah akibat pelebaran jalan. Jadi apa patut dilakukan...? Jika JKR atau PBT hendak menurap balik jalan, syarikat-syarikat utiliti sepatutnya bersiap-sedia menghantar kontraktor mereka supaya penutup lurang boleh dinaikkan serentak dengan kerja-kerja penurapan semula jalan. Malangnya, adakah syarikat-syarikat utiliti ambil kisah akan semua ini...? Untung berjuta tetapi lurang mereka pula macam lahanat.
  3. Sepanjang saya menulis Blog Jalan Raya Malaysia serta bergaul dengan sekutu-sekutu saya termasuklah Brotherhood, saya dapati ada segelintir PBT atau pejabat JKR daerah yang bertindak menyekat sesetengah pengguna daripada membuat aduan kerosakan jalan. Tindakan "senarai hitam" pengadu tersebut dikatakan berpunca daripada pengadu tersebut yang marah-marah dan memaki-hamun semasa mengemukakan aduan kerosakan jalan. Serius saya katakan bahawa saya amat mengecam amalan tersebut kerana ia hanya menunjukkan sikap tidak profesional pihak yang berkenaan. Kepada segelintir pejabat JKR daerah yang saya maksudkan itu, saya ingin bertanya sama ada anda ada menghantar wakil untuk menghadiri Kursus Pemantapan Media Sosial KKR 2016 pada penghujung Januari 2016...? Jika ya, maka anda sepatutnya bertindak profesional dalam menangani pengadu yang marah-marah dan bukannya turut sama bertekak dengannya, apatah lagi menyekatnya terus. Serius saya katakan, jika tindakan pembaikan jalan dilakukan dengan sempurna, orang yang marah-marah kepada anda itulah orang pertama yang akan berterima kasih kepada anda. Sebagai pekerja JKR atau PBT, anda seharusnya sedar bahawa bidang kerja anda memang melibatkan kena maki dengan pengadu; jika anda dari jenis yang tidak tahan kena maki, ada baiknya anda bersiap-sedia untuk mula menghantar resume anda ke firma-firma lain.
  4. Sekadar mengharapkan JKR mahupun PBT sahaja untuk menangani masalah jalan berlubang sebenarnya memang tidak memadai. Sebaliknya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pengguna jalan raya sendiri turut berperanan bagi memastikan jalan raya kita bebas daripada lubang. Apa pula peranan JPJ dalam memangani isu jalan berlubang...? Mereka sering menahan lori-lori terlebih muatan bukan...? Ya, memang itulah peranan JPJ bagi mencegah jalan daripada cepat rosak. Apa tidaknya, berat lori itu sahaja boleh mengakibatkan jalan raya cepat mendap. Selain itu, kilasan tayar lori yang sangat tinggi itu juga boleh mengakibatkan permukaan jalan cepat terhakis, menyebabkan jalan raya menjadi semakin menggerutu sehingga lama-kelamaan akan berlubang. Seterusnya, apa pula peranan kita selaku pengguna jalan raya...? Peranan anda mudah sahaja - kurangkan kereta di atas jalan raya. Hadkan penggunaan kereta kepada hanya untuk mengangkut ramai orang dan banyak barangan, serta ketika hujan. Jika anda sekadar hendak ke pejabat seorang diri, lebih baik gunakan pengangkutan awam ataupun paling malas pun naik motor sahaja. Sebabnya ialah kerana terlalu banyak kereta di atas jalan raya sebenarnya menyumbang kepada kerosakan jalan raya yang lebih kerap - kesannya sama seperti lori terlebih muatan.
  5. Khusus buat DBKL, satu perkara yang saya terpaksa ulang dan ulang lagi ialah sistem inventori jalan raya yang teruk. Apa tidaknya, DBKL perlu menguruskan lebih 2,010 km jalan raya di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah jalan persekutuan. Malangnya, sehingga sekarang masih tiada sistem kod laluan perbandaran di Kuala Lumpur. Jika kod laluan pun tidak dipamerkan, maka sudah tentulah ia bermakna mereka langsung tiada pangkalan data inventori jalan raya mereka. Justeru, saya ingin mencabar DBKL untuk menggantikan kesemua papan tanda yang ada kepada jenis yang ada jata laluan sebagai bukti mereka benar-benar serius mahu menangani jalan berlubang, bukan sekadar sembang kosong sahaja..

Kesimpulannya, memang bagus sekiranya KKR mahupun DBKL sudah mula meletakkan sasaran untuk membanteras jalan berlubang sehabis-habisnya. tetapi saya masih tidak yakin sasaran tersebut berupaya untuk dicapai tahun ini atau tahun hadapan susulan isu-isu yang telah saya jelaskan tadi. Memandangkan peruntukan yang diterima sangat terhad, maka JKR dan PBT perlu memastikan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan memenuhi spesifikasi serta garis panduan yang ditetapkan dan berkualiti cemerlang dalam sekali buat sahaja. Selain peranan JKR serta PBT, syarikat-syarikat utiliti pemilik lurang bertanggungjawab sepenuhnya atas lurang mereka, justeru mereka wajib menghentikan perangai culas mereka ketika menyelenggara lurang. JPJ pula perlu menumpukan lebih perhatian terhadap lori terlebih muatan daripada sibukkan isu cermin gelap serta nombor plat, kerana kedua-duanya tidak membawa maut jika dibandingkan dengan jalan berlubang. Akhir sekali, kita selaku pengguna jalan raya perlu melakukan satu anjakan paradigma dengan menggunakan pengangkutan awam ataupun motosikal jika hendak ke tempat kerja secara berseorangan. Hanya setelah semua pihak memainkan peranannya barulah kedua-dua KKR dan DBKL berupaya membuktikan kepada saya bahawa keazaman mereka untuk mensasarkan sifar jalan berlubang sememangnya serius dan bukan sekadar gebang semata-mata.

No comments:

Post a Comment