Tuesday, February 16, 2016

Istimewa Tahun Baru Cina 2016: Melawat semula Lebuhraya Lekas E21 - kini diterangi lampu sepenuhnya...!!! / 2016 Chinese New Year Special: Lekas Expressway E21 revisited - now fully-lit...!!!




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, warga kota - terutamanya kaum Cina - sudah pun kembali semula ke kota setelah bercuti panjang di kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 8 Februari 2016. Saya hanya pulang semula ke kampung pada tarikh tersebut kerana perlu menemani adik lelaki saya yang ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur akibat demam denggi. Sebab itulah entri ini agak lambat ditulis, ditambah pula dengan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini.

Jika anda sering mengikuti entri-entri Blog Jalan Raya Malaysia semasa musim perayaan, anda tentunya sudah menyedari bahawa setiap kali musim perayaan, saya lebih menggalakkan anda semua menggunakan kombinasi Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dan Lebuhraya Lekas E21 untuk ke selatan berbanding terus menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sebabnya...? Jika sekarang ini semua pengguna jalan raya yang hendak ke selatan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya percaya anda pastinya berasa sangat menyesal kerana terpaksa membayar tol yang mahal hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Sebab itulah pembinaan Lebuhraya Lekas E21 sememangnya satu langkah yang bijak, kerana lebuh raya tersebut berperanan mengalihkan sekurang-kurangnya sepertiga daripada aliran trafik yang hendak ke selatan. Hasilnya anda boleh saksikan sendiri pada peta Waze dan Google Maps pada telefon pintar anda. Jika anda terlepas membaca reviu Lebuhraya Lekas E21 ini, anda masih boleh membacanya di sini.

Daya penarik terbaharu untuk menggalakkan penggunaan Lebuhraya Lekas E21 ini sudah tentulah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Inisiatif pemasangan 1,446 batang tiang lampu jalan LED ini diambil oleh Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dengan kos keseluruhan lebih kurang RM16 juta. Majlis perasmian penyempurnaan kerja-kerja pemasangan lampu jalan ini diadakan pada 31 Januari 2016 di Plaza Tol Setul, yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Kenapa Lebuhraya Lekas E21 perlu dipasang lampu jalan...? Meskipun Lebuhraya Lekas E21 terbukti berjaya mengurangkan kesesakan jajaran Nilai-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2, namun masih ramai yang enggan menggunakan lebuh raya tersebut atas alasan keadaannya yang begitu gelap dan sunyi pada waktu malam. Akibatnya, Lebuhraya Lekas E21 kekal lengang, mengakibatkan syarikat konsesinya mengalami kerugian akibat kadar aliran trafik yang terlalu rendah. Selain itu, kadar aliran trafik yang rendah juga mengakibatkan pendapatan peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang jatuh sehingga mengakibatkan banyak gerai di situ yang sudah ditutup.

Untuk meningkatkan kembali kadar aliran trafik di E21, pelbagai langkah diambil bagi menggalakkan orang ramai menggunakan E21. Kami sendiri turut serta dalam usaha mempromosikan Lebuhraya Lekas E21 ini melalui reviu kami mengenainya. Hebahan oleh pelbagai pihak turut diadakan bagi menggalakkan penggunaan E21, termasuklah oleh PLUS Malaysia Berhad sendiri. Perbandingan kadar aliran trafik pada musim perayaan juga dijadikan sebagai alat untuk mempromosikan lebuh raya tersebut. Hasilnya, semakin ramai yang menggunakan E21 terutamanya dari kalangan orang-orang Kajang dan Seremban. Pun begitu, masih ramai yang enggan menggunakannya pada waktu malam disebabkan keadaannya yang gelap. Justeru, Lekas mengambil inisiatif memasang lampu jalan supaya E21 terang-benderang pada waktu malam, sekaligus menarik minat lebih ramai pengguna lebuh raya menggunakannya pada waktu malam.

Saya berkesempatan untuk kembali semula ke Lebuhraya Lekas E21 untuk mengalami sendiri pengalaman pemanduan setelah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Hasilnya memang amat memberangsangkan kerana semakin ramai pengguna lebuh raya yang lebih yakin untuk menggunakan E21 pada waktu malam. Ia sememangnya satu perkembangan positif buat Lekas kerana jika trend sebegini berterusan, maka sudah tentulah Lekas akhirnya berupaya memperoleh keuntungan setelah sekian lama rugi sejak E21 mula-mula dibuka.

Kepada pihak pengurusan Lekas, syabas saya ucapkan. Pun begitu, mereka masih belum boleh bersenang-lenang lagi; masih ada lagi kerja yang perlu dilakukan oleh mereka agar lebih ramai pengguna menggunakan E21. Sekarang Lekas perlu tumpukan perhatian terhadap usaha mempromosikan Kawasan Rehat dan Rawat Beranang pula. Hentian rehat tersebut memang besar, tetapi sayangnya banyak gerai di situ yang sudah ditutup. Semasa saya mencuba E21 setelah lampu jalan dipasang pun saya dapati kesemua gerai di situ sudah ditutup pada waktu malam. Jadi bagaimana hendak menarik lebih ramai orang mengunjungi hentian rehat tersebut...? Ada banyak pendekatan yang perlu diambil. Lekas perlu membuka semula tawaran sewaan gerai di situ. Seterusnya, mereka perlu membina stesen minyak di situ. Syarikat-syarikat minyak sudah tentu akan "banyak songeh" dalam hal ini, tetapi percayalah, jika stesen minyak dibina di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang, pasti ramai pengguna lebuh raya akan membanjiri hentian rehat tersebut. Buktinya anda boleh saksikan di Kawasan Rehat dan Rawat Kundang di Lebuhraya Latar E25 yang dikunjungi ramai pengguna lebuh raya setelah pembinaan stesen minyak Petronas di situ. Paling penting, pihak Lekas perlu kerap mengadakan acara seperti "uptown Beranang", medan Sate Kajang dsb. agar dapat menarik ramai pengguna lebuh raya mengunjunginya. Dalam hal ini, Lekas boleh belajar daripada Grand Saga bagaimana mereka mengubah Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 daripada hentian rehat yang hidup segan mati tak mahu kepada hentian rehat yang sentiasa dikunjungi pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1. Jika Lekas berupaya mentransformasikan hentian rehat mereka di Beranang menjadi hentian rehat yang sibuk, sudah tentulah lebih ramai lagi yang mahu menggunakan Lebuhraya Lekas E21 sebagai pilihan utama ke selatan.

No comments:

Post a Comment