Tuesday, September 29, 2015

Media Jalan Raya Malaysia: Antara wang dan masa / Malaysian Highway Media: A fine line between money and time




Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda satu video menarik yang diterbitkan oleh Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM). Video ini merumuskan tentang kenapa lebuh raya ekspres perlu mengutip tol.

Oleh kerana sudah terlalu banyak entri dalam Blog Jalan Raya Malaysia yang menerangkan rasional kutipan tol, izinkan saya membuat sedikit rumusan mengenai video ini secara sepintas lalu. Lebuh raya ekspres merupakan satu kemudahan premium yang menawarkan satu laluan alternatif yang lebih selesa dan lebih menjimatkan masa berbanding menggunakan jalan raya biasa. Ia berbeza daripada jalan raya biasa yang dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas dari titik A ke titik B. Sebab itulah kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya biasa ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil kutipan cukai. Oleh kerana jalan raya biasa dibina sekadar memenuhi keperluan pengangkutan asas sahaja, maka sudah tentulah terdapat banyak halangan yang melambatkan perjalanan seperti persimpangan searas, rumah-rumah, gerai-gerai tepi jalan, kedai-kedai, kebun-kebun orang, ladang-ladang, kampung-kampung, pekan-pekan dan bandar-bandar. Justeru, lebuh raya ekspres berupaya menyediakan tahap keselesaan, penjimatan masa serta had laju operasi yang lebih tinggi dengan menghalang sepenuhnya semua akses kepada segala premis hartanah dan hanya dihubungkan ke jalan-jalan raya utama melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya.




Persimpangan searas merupakan salah satu halangan lazim di jalan persekutuan dan negeri yang bukan sahaja menjadi punca kesesakan dan kelambatan perjalanan di jalan persekutuan dan negeri, tetapi juga boleh jadi berbahaya dan mengancam nyawa pengguna jalan raya




Sebaliknya, lebuh raya ekspres menambah baik tahap keselamatan melalui penggunaan persimpangan bertingkat berlainan aras, membolehkan had laju operasi dinaikkan daripada 90 km/j kepada 110 km/j


Namun, kemudahan premium ini tidak didatangkan secara percuma tetapi ada bayarannya. Kos pembinaan lebuh raya ekspres jauh lebih mahal daripada jalan raya biasa. Kenapa pula kos pembinaan lebuh raya ekspres lebih mahal...? Jalan raya boleh dibina dengan kos yang paling murah dengan mengikut bentuk muka bumi dengan tarahan atau penambakan tanah yang minima, tetapi ia akan menghasilkan jalan raya yang berbengkang-bengkok dan berbahaya. Untuk membina jalan raya yang lebih baik dan lebih selamat, maka bukit-bukit terpaksa ditarah. Lurah-lurah yang tidak berapa dalam perlu ditambak dengan tanah. Kedua-dua kerja ini melibatkan penggunaan jentera yang memerlukan bahan api diesel serta penyelenggaraan berkala. Jika perlu merentas gaung yang lebih dalam ataupun sungai, jambatan perlu dibina. Jika terpaksa merentasi kebun-kebun atau rumah-rumah orang, maka pampasan perlu dibayar. Kesemuanya memerlukan duit. Hendak parkir jentera-jentera pembinaan pun kena bayar juga, apatah lagi menggunakannya. Upah pekerja juga perlu dibayar kerana mereka membina jalan raya bagi menyara keluarga masing-masing. Maka, untuk membina lebuh raya ekspres, kosnya sangat mahal kerana spesifikasi lebuh raya ekspres memerlukan kecerunan seminima mungkin (atau dengan kata lain, hanya boleh landai dan tidak boleh dibina curam), jejari selekoh semaksima mungkin (atau dengan kata lain, tidak boleh ada selekoh tajam), yang bermaksud banyak tenaga kerja, penggunaan jentera serta pembinaan struktur (pembetung, longkang, benteng, jejambat, jambatan, persimpangan bertingkat, dsb.) yang dilibatkan dalam pembinaan lebuh raya ekspres.

Itu baru cerita kos pembinaan. Daripada mana pula datangnya duit untuk membina lebuh raya ekspres...? Tidak seperti jalan raya biasa yang mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaan, kerajaan tidak menghulurkan walau sesen pun wang untuk membina lebuh raya ekspres. Sebaliknya, syarikat konsesi pula yang perlu meminjam wang di bank. Jika sudah pinjam wang di bank, maka sudah tentulah kena bayar balik sebagaimana anda perlu membayar hutang rumah dan hutang kereta. Jadi bagaimana syarikat konsesi lebuh raya hendak membayat balik hutang bank...? Itulah sebabnya syarikat konsesi mengenakan tol di lebuh raya. Kenapa pula kerajaan tidak membina sendiri lebuh raya secara percuma...? Kos pembinaan lebuh raya terlalu mahal tetapi hanya segelintir yang tinggal di sepanjang laluannya sahaja yang menerima manfaatnya, jadi adalah tidak adil jika ia dibina menggunakan wang cukai daripada rakyat di seluruh pelosok negara termasuklah dari negeri-negeri yang memang tiada lebuh raya ekspres seperti Sabah dan Sarawak. Jumlah wang yang digunakan untuk membina lebuh raya ekspres sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membina lebih banyak sekolah, hospital, masjid, balai raya serta jalan raya asas.

Setelah lebuh raya sudah siap, maka sudah tentulah ia perlu diselenggara agar tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetap terjamin. Nampak sahaja ada lubang terus tampal. Jika kawasan sama berlubang banyak kali, ia perlu diperkukuhkan dan diturap semula. Perabot jalan yang rosak (papan tanda, pengadang jalan, lampu jalan dsb.) perlu diperbaiki atau diganti. Mentol lampu jalan yang terbakar perlu diganti. Rumput panjang perlu dipotong supaya haiwan liar atau haiwan berbisa tidak memasuki lebuh raya. Pagar yang rosak perlu diganti. Longkang tersumbat perlu dibersihkan. Hentian rehat dan hentian sebelah perlu dibersihkan setiap hari. Bil elektrik, bil air dan bil telefon perlu dibayar. Oleh kerana yang melakukan kesemua kerja penyelenggaran itu ialah manusia, maka mereka juga perlu dibayar. Jadi, daripada manakah datangnya duit untuk membayar kesemuanya itu kalau bukan daripada kutipan tol...?




Khidmat lori tunda syarikat konsesi lebuh raya secara percuma merupakan satu perkhidmatan lepas jualan yang tidak ditawarkan di mana-mana jalan persekutuan dan negeri
(Kredit kepada: Wenn Experiences)


Setelah anda membayar tol, anda bukan sahaja disajikan dengan perjalanan yang lebih selesa dan lebih selamat, tetapi anda turut disediakan dengan khidmat lepas jualan yang tidak mungkin anda perolehi di mana-mana jalan persekutuan mahupun negeri. Jika kereta anda rosak, anda tidak perlu membazirkan wang membayar kepada lori-lori tunda dengan ongkos yang ada kalanya tidak masuk akal, sebaliknya anda hanya perlu memanfaatkan telefon kecemasan untuk mendapatkan khidmat tundaan secara percuma oleh syarikat konsesi lebuh raya. Setelah tiba di plaza tol terhampir, kakitangan syarikat konsesi lebuh raya boleh membantu anda mendapatkan bengkel kereta yang paling boleh dipercayai dan bukannya "pomen-pomen cap ayam" yang membaiki kereta dengan kemahiran sama seperti tikus membaiki labu. Jika kereta anda rosak di jalan persekutuan atau negeri, anda hanya mampu mengharap belas ihsan pemandu lain yang lalu-lalang untuk membantu anda. Kalau kereta anda rosak berhampiran bengkel kereta milik kenalan anda, tak apalah juga. Begitu juga kalau anda ada nombor telefon mekanik atau pengusaha lori tunda yang anda kenali. Bagaimana kalau anda tiada semua itu...? Wallahualam.

Begitulah kisahnya tentang rasional lebuh raya ekspres dikenakan tol. Tiada satu pun benda percuma di muka bumi ini kecuali udara yang anda hanya perlu sedut sahaja. Nak tadah air hujan pun memerlukan alat yang perlu dibeli atau dibuat sendiri. Nak masuk ke tandas untuk melepaskan hajat pun kena bayar 30 sen, inikan pula kalau nak guna lebuh raya ekspres yang lebih cepat dan lebih selesa. Jalan raya biasa memang percuma, tetapi anda perlu membayarnya dengan masa yang dibazirkan untuk mengharungi halangan di sepanjang laluannya. Jika anda guna lebuh raya ekspres, anda rugi wang tetapi anda untung masa. Jika anda guna jalan raya biasa, anda untung wang tetapi anda rugi masa. Ataupun, anda boleh juga gunakan panduan memintas tol kami jika anda mahu menggunakan lebuh raya ekspres tetapi tidak mahu membayar tol, tetapi anda tetap perlu melencong jauh dan tetap tiba ke destinasi lebih lambat daripada yang membayar tol. Pilihan terletak di tangan anda. Namun, ada masanya yang mana anda rugi kedua-dua wang dan masa di lebuh raya ekspres, iaitu tidak lain dan tidak bukan semasa musim perayaan. Jadi, jawapan mengenai laluan yang mana sepatutnya anda pilih sudah ada, jadi jangan merungut jika anda terpaksa membazirkan duit tol puluhan ringgit hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Anda tidak mampu untuk mengubah kesesakan, tetapi anda mampu untuk mengubah haluan stereng kereta anda.

Untuk penerangan lebih lanjut mengenai kutipan tol lebuh raya ekspres, saya hanya sertakan sebahagian sahaja entri mengenainya:-

  1. Mythbuster: Lebuh raya ekspres bertol dibina menggunakan wang rakyat - mitos terbukti karut!
  2. Mythbuster: Lebuh raya percuma vs berbayar
  3. Masalah kewangan segelintir konsesi lebuh raya bukti projek lebuh raya tol tidak semestinya menguntungkan

No comments:

Post a Comment