Saturday, March 21, 2015

Kenapa disiplin lorong pemandu Malaysia sangat teruk / Why Malaysian drivers' lane discipline is absurdly horrible



Salam sejahtera,

Bayangkan situasi begini - anda terpaksa beratur panjang di sebuah persimpangan lebuh raya yang sibuk semasa waktu gegas pada waktu pagi. Anda berbaris panjang dengan penuh sabar mengikut lorong. Tiba-tiba ada sebuah kereta bebal yang membuat onar dengan tiba-tiba "memancung" dari lorong yang paling kanan terus ke laluan anda, tanpa menggunakan lampu isyarat membelok sama sekali. Jadi apa yang akan anda lakukan...? Adakah anda akan membunyikan hon sekuat-kuatnya kepada pemandu bebal itu...? Ataupun, adakah anda akan memaki-hamun dengan pelbagai koleksi perbendaharaan kata kesat dan lucah dalam pelbagai bahasa...? Ataupun, adakah anda membuka tingkap kereta untuk menayangkan jari hantu kepadanya...? Semuanya berlaku disebabkan disiplin lorong yang sangat teruk di kalangan pemandu Malaysia.

Soalnya, kenapa disiplin lorong pemandu Malaysia sangat teruk...? Terdapat empat faktor utama yang saya persalahkan, iaitu cara penandaan garisan jalan, sistem papan tanda yang tidak menitikberatkan disiplin lorong, sistem pendidikan di sekolah mahupun sekolah memandu yang tidak menitikberatkan disiplin lorong, serta kebebalan pemandu itu sendiri.


1.) Penandaan garisan jalan

Di sekolah memandu, kita sering diajar agar sentiasa berada di lorong kiri melainkan ketika hendak memotong ataupun ketika hendak membelok ke kanan. Namun realitinya, adakah kita benar-benar mengamalkannya...? Jawapannya sudah tentu tidak - di Malaysia, terdapat banyak spesis kura-kura yang berlenggang-kangkung di lorong kanan meskipun kereta-kereta yang lebih laju di belakang sudah memainkan lampu tinggi dan hon. Selain itu, kira boleh dapati puak-puak bebal yang otaknya terletak di bahagian dubur yang memotong di sebelah lorong kiri mahupun lorong kecemasan.

Kenapa semua ini boleh terjadi...? Kepada Jabatan Kerja Raya, (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, cuba lihat kembali bagaimana anda sekalian mengecat garisan jalan - daripada cara garisan jalan kita dicat, maka jelaslah bahawa garisan jalan di negara kita sebenarnya membawakan ajaran sesat kepada pengguna jalan raya Malaysia dan seterusnya menyebabkan orang-orang kita lebih banyak berada di sebelah lorong kanan dan bukan sebaliknya...!!!




Cuba lihat contoh bagaimana Lebuhraya Takamatsu yang merupakan sambungan kepada Lebuhraya Kobe-Awaji-Naruto di Jepun mencerut daripada empat lorong kepada dua lorong. Jika diperhatikan, anak panah di atas jalan memaksa pemandu berhimpit ke sebelah kiri manakala pemandu di lorong kiri tidak perlu berganjak langsung. Lorong kanan disempitkan oleh garisan chevron (garisan belang hitam putih) sebelum lebuh raya itu sendiri menyempit secara fizikal. Itulah sebabnya kenapa pemandu Jepun mempunyai tahap disiplin lorong yang sangat tinggi.




Bagaimana pula dengan SKVE E26 di negara kita...? Cara kita mencerut lebuh raya kita pula hanya menyebabkan disiplin lorong pemandu Malaysia menjadi semakin teruk - pemandu di lorong kiri dipaksa untuk berhimpit ke lorong kanan, sedangkan lorong kanan itu sebenarnya lorong memotong bagi kenderaan ringan sahaja. Akibat daripada cara kita menanda jalan raya kita, pemandu-pemandu Malaysia cenderung untuk kekal di lorong kanan walaupun ketika tidak memotong. Sebab itulah ramai yang merungut kerana terdapat spesis-spesis kura-kura yang berlenggang-kangkung di lorong kanan...!!! Tambah parah lagi, cara penandaan sebegitulah yang diterapkan dalam Arahan Teknik JKR.

Memandangkan cara kita menanda jalan raya kita hanya akan menyebabkan pemandu Malaysia menjadi semakin tidak berdisiplin. maka JKR perlu meminda semula Arahan Teknik mereka dengan mengguna pakai cara penandaan Jepun bagi cerutan lebuh raya - pemandu Malaysia sepatutnya dididik agar menghimpit ke kiri di cerutan lebuh raya, bukannya menghimpit ke kanan.

Selain disiplin lorong yang teruk di cerutan, penandaan jalan raya yang teruk juga menyumbang kepada disiplin lorong yang teruk di simpang-simpang jalan. Apa tidaknya, lorong kanan tiba-tiba menjadi lorong membelok ataupun lorong pusingan-U tanpa sebarang pemberitahuan awal mahupun penandaan jalan yang bersesuaian. Begitu juga dengan lorong kiri yang tiba-tiba menjadi lorong membelok ke kiri. Akibatnya, kita boleh dapati ramai pemandu yang terlajak di lorong yang salah terpaksa berhimpin ke kanan atau kiri, yang seterusnya menjadi salah satu penyumbang kepada kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.


2.) Papan tanda

Selain garisan jalan, papan tanda juga merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada disiplin lorong pemandu Malaysia yang setanding dengan negara-negara mundur. Kenapa pula papan tanda juga dipersalahkan...? Memang benar papan tanda "ikut kiri jika tidak memotong" atau "ikut kiri kecuali memotong" sering dipacakkan di sepanjang jalan raya dan lebuh raya bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa kekal di lorong kiri kecuali memotong, tetapi malangnya ia tidak berkesan sama sekali. Kenapa pula...? Sebabnya mudah sahaja - kita tidak mengguna pakai had laju minimum di lebuh raya ekspres.




Lebuhraya Jingshen G1/S025 ini menerapkan disiplin lorong melalui had laju minimum berbeza mengikut lorong (had laju maksimum tetap sama)


Cuba lihat contoh bagaimana lebuh raya ekspres di China seperti Lebuhraya Jingshen G1/S025 ini menerapkan disiplin lorong melalui penguatkuasaan had laju minimum bagi setiap lorong. Seperti majoriti lebuh raya ekspres utama di China, had laju maksimum Lebuhraya Jingshen G1/S025 ialah 120 km/j. Had laju maksimum 120 km/j ini terpakai pada semua lorong tidak kira lorong perlahan mahupun lorong memotong. Namun, untuk memastikan hanya kenderaan yang memotong sahaja yang berada di lorong kiri (China merupakan negara yang mana rakyatnya memandu di sebelah kanan jalan raya), maka had laju minimun yang berbeza ditetapkan. Bagi lorong paling kanan (lorong perlahan), had laju minimum yang ditetapkan ialah 60 km/j, yang juga merupakan had laju minimum bagi kesemua lebuh raya ekspres di China. Bagi lorong memotong pula, had laju minimum yang ditetapkan pula adalah setinggi 100-110 km/j. Dengan kata lain, banjaran kelajuan di lorong memotong hanya sekecil 10 km/j sahaja, yang menunjukkan bahawa lorong memotong hanya boleh digunakan untuk memotong sahaja. Jika sesebuah lebuh raya ekspres mempunyai tiga lorong sehala atau lebih, had laju minimum yang ditetapkan boleh jadi antara 70-100 km/j, yang mana lorong yang lebih kiri mempunyai had laju minimum lebih tinggi.

Malaysia pula...? Meskipun peraturan jalan raya telah menetapkan bahawa kenderaan bergerak perlahan tidak dibenarkan untuk menggunakan lebuh raya ekspres, namun tiada had laju minimum spesifik yang ditetapkan oleh kerajaan. Itulah sebabnya kenapa boleh ada spesis kura-kura yang sesat di tengah-tengah lebuh raya, dan ada di kalangan mereka yang berlenggang-kangkung di lorong kanan. Disebabkan tiada penguatkuasaan had laju minimum yang berbeza bagi setiap lorong, maka pemandu Malaysia memandu pada mana-mana lorong ikut suka hati bapak mereka tanpa mematuhi disiplin lorong - yang perlahan berlenggang-kangkung di lorong kanan, manakala yang laju pula mengamalkan prinsip "kalau tiada lorong kanan, lorong kiri pun berguna juga" ketika memotong. Kenapa saya tekankan had laju minimum berbeza dan bukannya had laju maksimum berbeza...? Jika had laju maksimum berbeza dikenakan mengikut lorong, ia sudah tentu tidak mampu menyelesaikan masalah spesis manusia bertopengkan kura-kura yang berlenggang-kangkung di lorong kanan disebabkan tiada had laju minimum yang membolehkan mereka beranjak ke lorong memotong.




Papan tanda had laju minimum yang wajar dikuatkuasakan di lebuh raya di Malaysia


Justeru, had laju minimum wajar diperkenalkan dan dikuatkuasakan bukan sahaja bagi menjamin kelancaran trafik lebuh raya, malah had laju minimum berbeza mengikut lorong juga membantu pengguna lebuh raya membentuk disiplin lorong yang betul. Pemandu yang tidak memotong hanya boleh berada di lorong kiri walaupun semasa memandu pada had laju maksimum lebuh raya. Had laju minimum yang lebih tinggi di lorong memotong pula mendidik pemandu agar hanya kenderaan yang hendak memotong sahaja yang boleh berada di lorong kanan. Selain mendidik disiplin lorong di kalangan pemandu Malaysia, had laju minimum juga sedikit-sebanyak membantu mengikis tabiat suka menyibuk dan suka menonton babak WWE percuma di lokasi-lokasi kemalangan yang menjadi punca utama kesesakan - majoriti kesesakan di lokasi-lokasi kemalangan di lebuh raya bukan berpunca daripada kemalangan itu sendiri tetapi kerana sikap suka menyibuk di kalangan pengguna lebuh raya. Lagipun, bukannya mereka ini hendak berhenti menolong mangsa pun; kalau bukan hendak menonton, mereka lebih cenderung mencari nombor plat untuk dipertaruhkan di kedai-kedai nombor ekor semata-mata.

Bagi menguatkuasakan had laju minimum di lebuh raya ekspres, ia memerlukan pindaan dilakukan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 dengan memasukkan had laju minimum 60 km/j di lebuh raya ekspres. Ia penting sebagai pencerahan kepada arahan "kenderaan bergerak perlahan dilarang memasuki lebuh raya" yang sangat kabur kerana tiada had laju minimum yang dinyatakan. Seterusnya, had laju minimum 60 km/j perlu dikuatkuasakan di lorong kiri sahaja, manakala had laju minimum di lorong kanan perlu ditetapkan kepada 100 km/j. Jika lebuh raya tersebut mempunyai 3 lorong bagi setiap hala atau lebih, maka lorong-lorong tengah itu perlu disetkan had laju minimumnya antara 70-90 km/j - misalnya, bagi lebuh raya 6 lorong, had laju minimum lorong tengah perlu disetkan kepada 90 km/j; bagi lebuh raya 8 lorong (seperti naik taraf NKVE E1) pula, lorong kedua paling kiri perlu disetkan had laju minimum kepada 80 km/j manakala lorong kedua paling kanan pula 90 km/j.




K.O.: Sudahlah papan tanda ini terlalu kecil dan ditempatkan di celah-celah pembahagi lebuh raya, disiplin lorong yang betul juga tidak diterapkan apabila papan tanda ini hanya memberitahu kedudukan lorong Touch 'n Go dan Smart Tag, dan bukannya mengikut destinasi keluar lebuh raya. Dalam kes ini, pengguna lebuh raya ke Senai dan Skudai sepatutnya menggunakan lorong paling kiri yang juga boleh menerima pembayaran tol melalui Touch 'n Go.
(Lokasi: KM16, Lebuhraya Utara-Selatan E2 arah Johor Bahru dekat Plaza Tol Skudai)




Dalam kes persimpangan bertingkat yang terlalu hampir dengan plaza tol, hanya Plaza Tol Bersepadu Bandar Cassia sahaja yang menunjukkan contoh terbaik dalam memupuk disiplin lorong dengan mengasingkan trafik mengikut destinasi awal-awal lagi
(Kredit kepada: Penang Travel Tips)


Disiplin lorong yang teruk yang berpunca daripada papan tanda tidak terhad pada ketiadaan penguatkuasaan had laju minimum sahaja; papan gantri bagi peringatan kedudukan lorong plaza tol juga menyumbang kepada disiplin lorong yang teruk di plaza tol. Kebanyakan papan tanda gantri peringatan kedudukan lorong hanya mengingatkan kedudukan lorong mengikut mod pembayaran (tunai, Touch 'n Go, Smart Tag), tetapi tiada satu pun papan tanda gantri tersebut yang memberitahu peringatan kedudukan lorong plaza tol mengikut mod pembayaran dan destinasi pemandu - lorong-lorong Smart Tag sepatutnya hanya untuk laluan terus sahaja disebabkan kedudukannya di bahagian paling kanan plaza tol, tetapi ia langsung tidak dinyatakan. Akibatnya, kita dapat lihat berapa ramai pengguna Smart Tag yang memancung terus dari lorong Smart Tag paling kanan ke lorong paling kiri untuk keluar dari lebuh raya dan membelok ke kiri. Ia ketara terutamanya di plaza tol utama yang terletak terlalu hampir dengan persimpangan bertingkat. Dalam kes ini, hanya Plaza Tol Bersepadu Bandar Cassia sahaja yang menunjukkan contoh terbaik dalam mendidik disiplin lorong di plaza tol apabila Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) awal-awal lagi mengasingkan trafik yang hendak keluar ke Batu Kawan dan Bandar Cassia melalui Exit 2801 Persimpangan Bandar Cassia di plaza tol tersebut.

Jadi bagaimana hendak memberitahu para pengguna Smart Tag agar beralih ke lorong paling kiri jika hendak keluar ke persimpangan yang terletak betul-betul selepas plaza tol...? Dalam kes ini, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sepatutnya mengingatkan pengguna Smart Tag agar berada di lorong tol paling kiri serta memberi peringatan bahawa pembayaran melalui Touch 'n Go boleh diterima di kesemua lorong tunai.


3.) Sistem pendidikan

Saya masih ingat lagi semasa di bangku sekolah rendah, murid-murid sering dididik agar mematuhi peraturan jalan raya. Semasa saya bersekolah di SK Dato' Seri Maharajalela Pekan Jabi, Segamat dari tahun 1989 sehingga 1994, guru Bahasa Melayu saya, Cikgu Maharun Ahmad, sering memperkenalkan papan-papan tanda jalan raya kepada kami dan mendidik kami agar mematuhi peraturan jalan raya. Tambah menarik, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat pada masa itu sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya di Dewan Jubli Intan setiap tahun, di mana terdapat pertandingan yang mana peserta menaiki basikal dan kereta go-kart kendalian kaki perlu mematuhi peraturan di litar kecil yang menggunakan kawasan parkir di situ. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah murid-murid sekolah diajar dan dididik mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya seawal bangku sekolah lagi. Sebab itulah angka-angka kemalangan maut pada zaman persekolahan saya dahulu tidak setinggi sekarang.

Sekarang pula bagaimana...? Puas saya membelek buku-buku teks sekolah di kedai-kedai buku, namun tiada satu pun buku teks yang menerapkan nilai-nilai disiplin jalan raya di dalamnya. Patutlah hasil produk sekolah-sekolah zaman sekarang sudah menjadi buluh keras yang tidak lagi boleh diajar mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Kurikulum sekolah memandu yang ada pun hanya lebih banyak kepada ceramah semata-mata; satu-satunya masa untuk mempraktikkannya hanyalah ketika ujian jalan raya sahaja. Sekolah-sekolah memandu pula kebanyakannya mengiklankan secepat lama pelajar-pelajar mereka boleh lulus ujian memandu, dan bukannya sejauh mana mereka faham akan peraturan jalan raya. Jujur saya katakan, saya sendiri terpaksa mengambil ujian memandu sebanyak 3 kali pada tahun 2000, tetapi alhamdulillah saya dapat menghayati kepentingan di sebalik setiap peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan.

Jadi siapa yang patut dipertanggungjawabkan terhadap lambakan pemandu-pemandu kurang ajar di atas jalan raya yang tiada disiplin lorong sekarang...? Ada dua pihak yang patut dipersalahkan, iaitu ibu bapa serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri. Ibu bapa merupakan pihak nombor satu yang patut dipersalahkan kerana menunjukkan contoh buruk di hadapan anak-anak seperti melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar, keluar masuk simpang tidak mengikut aturan keutamaan, tidak menggunakan cermin sisi dan lampu isyarat membelok, dan banyak lagi.


4.) Pemandu sendiri...!!!

Akhir sekali, pihak yang patut dipersalahkan dalam isu disiplin lorong yang setanding dengan negara mundur ialah pemandu itu sendiri. Kita ada lebuh raya ekspres bertaraf dunia, tetapi malangnya lebuh raya ekspres itu digunakan oleh segelintir pemandu bebal yang bertaraf mangkuk jamban. Golongan inilah yang membawa kepada senario yang saya tunjukkan dalam gambar paling atas bagi entri ini. Mereka memandu laju di lorong kanan, dan sebaik sahaja mereka tiba di persimpangan sesak, mereka tiba-tiba memancung dari lorong paling kanan ke lorong paling kiri untuk berhimpit ke susur keluar. Sikap mementingkan diri sebeginilah yang sering menjadi punca kesesakan teruk setiap kali waktu gegas. Sikap pemandu-pemandu bebal yang meletakkan otak mereka di lubang dubur itulah yang menzalimi pengguna-pengguna jalan raya lain yang beratur dengan penuh sabar.

Justeru, benarlah kata-kata kumpulan nasyid Raihan bahawa iman tidak dapat diwarisi. Begitu juga dengan kebodohan dan kebebalan manusia; ia lahir hasil daripada perangai individu itu sendiri. Jadi bagaimana hendak menghalang golongan-golongan bebal ini daripada terus membuat onar di atas jalan raya...? Satu-satunya cara adalah dengan memperkenalkan dan mewajibkan ujian memandu berkala setiap kali memperbaharui lesen memandu, bagi mengenal pasti tahap keberbaloian (road worthiness) pemandu tersebut di atas jalan raya. Jika pemandu tersebut berdisiplin dan menghormati hak-hak pengguna jalan raya yang lain, maka pemandu sebegi wajar dikekalkan. Namun, sekiranya pemandu tersebut mempunyai disiplin jalan raya yang teruk seolah-olah jalan raya itu bapak dia yang punya, maka tiada sebab kenapa kita perlu mengekalkan si bebal itu di atas jalan raya.

No comments:

Post a Comment