Wednesday, March 4, 2015

Dakwaan ADUN Selangor boleh pegang peruntukan MARRIS - serius...? / Allegations of Selangor State Assembly members may hold the MARRIS allocation - seriously...?



Jika sebelum ini kumpulan Brotherhood mengecam Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan kerana memperlekehkan usaha mereka membaiki sendiri jalan rosak, kini giliran kerajaan negeri Selangor pula yang dihentam teruk atas dakwaan ADUN Selangor pegang peruntukan MARRIS yang dikatakan menjadi punca masalah jalan berlubang di Selangor yang tidak diselenggara
(Kredit gambar: Lando)


Salam sejahtera,

Masih ingat akan kisah kumpulan motosikal Ikatan Silaturahim Brotherhood yang menampal jalan-jalan berlubang di sekitar Lembah Klang kerana bosan akan aduan jalan perbandaran berlubang yang tidak diambil tindakan segera...? Ya, mereka masih meneruskan kerja-kerja sebegini, dengan ruang lingkungan yang diperluaskan ke seluruh negeri Selangor pula. Sejak isu Brotherhood heboh diperkatakan, hikmah yang berlaku di sebalik isu tersebut ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini semakin meningkatkan kerjasama dengan kumpulan Brotherhood yang bertindak sebagai mata dan telinga mereka bagi menangani jalan-jalan berlubang; hanya hubungan antara Brotherhood dengan Datuk Bandar KL dan Menteri Wilayah Persekutuan sahaja yang tidak begitu baik akibat keengganan mereka menerima teguran. Namun sekarang, Selangor pula yang teruk dihentam oleh Brotherhood atas isu yang sama, malah disifatkan jauh lebih teruk daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Apa sudah jadi sebenarnya...?

Sejak mula mengenali Encik Lando Zawawi selaku jurucakap Brotherhood, saya sering mengikuti perkembangan aktiviti menampal jalan di serata Selangor melalui laman Facebook beliau. Namun, isu jalan berlubang di Selangor ini menarik perhatian saya apabila timbul dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor boleh memegang geran peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

ADUN Selangor boleh pegang duit MARRIS...? Serius...?

Apa itu MARRIS sebenarnya...? Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS merupakan satu pangkalan data khas untuk pengurusan kewangan bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan jalan-jalan perbandaran. Data-data dimasukkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku badan-badan pelaksana. Sistem MARRIS ini dibangunkan dan dikawalselia oleh Kementerian Kewangan Malaysia bagi memastikan peruntukan penyelenggaraan jalan raya daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dapat disalurkan terus kepada pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya sahaja. Dengan kata lain, peruntukan melalui MARRIS hanya boleh digunakan untuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya sahaja, dan tidak boleh sekali-kali digunakan bagi tujuan lain. 

Sistem MARRIS ini mula diperkenalkan pada tahun 1982 - pada masa itu, rekod mengenai jalan negeri dan jalan perbandaran diisi dalam lima keping borang dan difailkan oleh JKR daerah atau PBT sebelum dihantar ke JKR negeri untuk disemak. Rekod yang telah disahkan oleh JKR negeri kemudian dihantar ke Perbendaharaan iaitu Bahagian Khidmat Nasihat Pengurusan Kewangan (BNPK) bagi tujuan kemasukan data. Sistem MARRIS kemudian dinaik taraf kepada sistem berkumputer pada penghujung tahun 1990an dengan nama MARRIS 2000 dengan penambahbaikan bagi mengatasi isu pepijat alaf baru Y2K pada sistem lama. Pada tahun 2007, sistem MARRIS dinaik taraf kepada sistem dalam talian pula iaitu MARRIS Online - melalui sistem terbaharu ini, pegawai JKR daerah dan PBT hanya perlu key-in data daripada komputer masing-masing dan data tersebut terus sampai kepada JKR negeri dan Perbendaharaan. Tidak perlu lagi membazirkan kertas dengan mengisi sebegitu banyak borang dan menghantarnya, menjadikan MARRIS Online jauh lebih cekap.

Melalui penerangan mengenai MARRIS ini, jelaslah bahawa hanya individu tertentu sahaja yang mempunyai capaian kepada sistem MARRIS ini, iaitu pegawai-pegawai tertentu dalam PBT, JKR dan Perbendaharaan. Orang sembarangan tidak boleh mengakses pangkalan data MARRIS termasuklah saya. Jadi persoalan sekarang adalah bagaimana duit geran MARRIS boleh sampai ke tangan DUN, khususnya DUN Selangor...? Adakah kerja ADUN ini mengorek dan menampal jalan...? Bagaimana boleh timbul dakwaan ADUN Selangor boleh pegang duit geran MARRIS ini...? Jika ADUN yang pegang duit peruntukan MARRIS, bagaimana JKR negeri dan PBT hendak ada duit untuk membaiki jalan-jalan yang memerlukan pembaikan seperti yang direkodkan...?

Dakwaan kononnya ADUN ataupun kerajaan negeri Selangor sendiri songlap peruntukan MARRIS tidak akan timbul jika bukan disebabkan oleh cara kerajaan negeri Selangor membelanjakannya - jikalau tiada angin (atau monyet), masakan pokok bergoyang. Saya ada terbaca beberapa laporan mengenai bagaimana kerajaan negeri Selangor menggunakan peruntukan MARRIS ini. Dalam satu kenyataan media oleh kerajaan negeri Selangor, hanya 66% daripada peruntukan tahun 2013 (RM290 juta) digunakan oleh kerajaan negeri. Mana perginya baki sepertiga lagi...? Kalau memang jalan sudah tidak berlubang lagi tetapi duit baki peruntukan MARRIS masih banyak, tak bolehkah gunakan duit baki itu untuk menambah baik tahap keselamatan jalan raya di Selangor (seperti memasang lampu jalan, mengecat semula garisan jalan dan mengganti papan tanda serta perabot jalan)...? Masih banyak perkara yang perlu dilakukan pada jalan raya negeri Selangor. Jalan raya kembar Jalan Sungai Tua B23 misalnya bergelap tanpa lampu jalan, yang menjadikan keadaan berbahaya kepada penunggang motosikal, di samping garisan jalan yang sudah hilang sifat pantulan cahayanya. Kesemua itu sepatutnya tidak memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan. Sekurang-kurangnya duit geran MARRIS yang dimanfaatkan meningkat kepada sekitar 80%, yang boleh dikatakan agak baik. Jangan ingat duit peruntukan mesti diperam seperti pekasam supaya tidak berlaku "ketirisan". Kerajaan persekutuan memang memperuntukkan duit sejumlah tertentu untuk dibelanjakan bagi penyelenggaraan jalan raya, jadi manfaatkanlah. Jika "prosedur baharu" dibangunkan bagi mengurangkan ketirisan akibat pelaksanaan prosedur lama, maka penjimatan yang diperolehi itu sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk menyelenggara lebih banyak jalan raya. Anda perlu ingat bahawa peruntukan kewangan tidak boleh terkurang belanja ataupun terlebih belanja - jika terlebih belanja, kerajaan negeri akan dituduh boros dan banyak ketirisan; jika terkurang belanja juga, kerajaan negeri akan dituduh kedekut, malas menyelenggara infrastruktur dan mahu tunggu masa untuk songlap. Sedangkan pengetua sekolah pun akan disoal siasat sekiranya peruntukan kerajaan kepada sekolahnya terlebih belanja atau terkurang belanja.

Dakwaan tersebut membuatkan saya berasa keliru dan bercelaru. Namun, adalah tidak adil bagi saya untuk membuat penilaian - jauh sekali menghukum - hanya setelah mendengar cakap-cakap mulut daripada sebelah pihak semata-mata. Tambahan pula, memang ada kawasan DUN yang mana duit geran MARRIS benar-benar dimanfaatkan sebaik-baiknya seperti di Meru. Jika di kawasan yang jalannya sering rosak sekalipun, ia boleh jadi berpunca daripada faktor geografi kawasan tersebut seperti kawasan berpaya. Jadi, saya beri peluang kepada pihak-pihak berkenaan untuk memberi penerangan yang memuaskan mengenai apa sebenarnya yang terjadi sehingga timbul dakwaan ADUN Selangor songlap duit geran MARRIS. Jangan pula pihak berkenaan mahu menyerang saya pula, kerana saya sendiri pun jadi keliru setelah timbul tuduhan sedemikian - jika pihak berkenaan menyerang saya bermakna mereka sendiri mengiyakan dakwaan tidak baik itu. Saya juga memerlukan pandangan daripada para pegawai tertinggi KKR serta Menteri Kerja Raya sendiri mengenai mekanisme MARRIS bagi tujuan pencerahan, kerana mereka sudah tentu jauh lebih arif mengenainya.

Justeru, untuk membersihkan nama kerajaan negeri Selangor daripada dakwaan songlap duit MARRIS, maka adalah lebih baik jika peruntukan MARRIS disalurkan terus kepada JKR Selangor dan juga PBT selaku pelaksana, dan bukannya melalui kerajaan negeri. Lagipun, hanya jauhari sahaja yang mengenai manikam - hanya pegawai-pegawai JKR dan PBT sahaja yang lebih mengetahui akan jalan-jalan bermasalah di kawasan mereka, kerana memang mereka sendiri yang merekodkannya dalam sistem MARRIS. Selain mengurangkan kerenah birokrasi yang seterusnya membawa kepada "kelambatan" perbelanjaan peruntukan MARRIS, JKR dan PBT boleh terus menggunakan peruntukan tersebut untuk merawat jalan-jalan bermasalah di negeri Selangor. Perbelanjaan peruntukan MARRIS sekarang bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya sepatutnya tidak memakan masa lama kerana sistem tersebut boleh diakses oleh pegawai-pegawai bertauliah secara dalam talian tanpa perlu memakan masa lama untuk mengepos borang-borang dan fail-fail sebagaimana sistem lama. Isu kontraktor songlap duit MARRIS dengan menipu tuntutan bayaran kos projek sepatutnya tidak jadi masalah kerana MARRIS memang direka sebegitu rupa bagi tujuan memantau kos projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya, jadi sebarang tuntutan kos yang tidak munasabah boleh dikesan. Namun, jika kerajaan negeri sendiri yang memegang peruntukan MARRIS atas alasan mahu mengekang masalah ketirisan dan songlap, dikhuatiri kerajaan negeri sendiri pula yang akan dituduh mahu songlap duit MARRIS, dan sebarang lebihan belanjawan negeri serta kenaikan gaji Menteri Besar dan ADUN sudah tentu akan dipertikaikan kerana orang akan mendakwa peningkatan tersebut datang daripada duit MARRIS yang tidak dibelanjakan.

No comments:

Post a Comment