Thursday, July 24, 2014

Memintas kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 / Bypassing the congested sections along the North-South Expressway E1 and E2




Salam sejahtera,

Demam balik kampung sudah pun bermula. Dianggarkan lebih 1.5 juta kenderaan bakal meninggalkan Lembah Klang untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing. Akibatnya, lebuh raya utama di negara kita kini menjadi sesak sehinggakan tidak berupaya menampung kadar aliran trafik yang meningkat mendadak pada masa tersebut. Akibat terlalu banyak kenderaan berada di atas jalan raya, pemandu boleh jadi hilang sabar dan seterusnya risiko kemalangan jalan raya juga bertambah tinggi. Namun, kesan kesesakan di lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan jika dan hanya jika pengguna lebuh raya bijak merancang perjalanan mereka dan tidak menganggap Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 ataupun Lebuhraya Pantai Timur E8 sebagai satu-satunya laluan untuk pulang ke kampung.

Namun, jika anda tetap mahu menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 sebagai laluan utama, anda seharusnya tahu di mana lokasi-lokasi paling sesak serta laluan alternatif untuk memintasnya. Bagaimana...?

Kita mulakan dahulu dengan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1. Jika anda datang dari arah Kuala Lumpur, anda seharusnya cuba mengelakkan daripada melalui Plaza Tol Jalan Duta kerana ia salah satu lokasi paling sesak di sepanjang E1; tambahan pula, anda terpaksa mendaki bukit dengan kecerunan 7% sebaik sahaja anda melepasi plaza tol tersebut. Jadi apakah alternatif lain yang ada...? Gunakan Jalan Kuching / Lebuhraya Rawang FT1 sehingga ke Taman Rimba Templer dan masuk ke Lebuhraya Latar E25, seterusnya masuk ke E1 melalui Exit 2506 Persimpangan Kuang dan seterusnya Exit 115.



Gunakan Lebuhraya Guthrie E35 untuk memintas kesesakan NKVE E1
(klik untuk besarkan)


Jika anda datang dari Shah Alam atau Klang, ataupun jika anda datang dari arah Lebuhraya Elite E6 untuk ke utara, anda seharusnya memanfaatkan sepenuhnya Lebuhraya Guthrie E35 dengan memasukinya dari Exit 601 / Exit 103 Persimpangan Shah Alam. Kenapa pula...? Rasionalnya mudah sahaja - NKVE E1 sering sesak akibat kadar aliran trafik yang tinggi serta kerja-kerja pelebaran kepada lapan lorong (jajaran Subang-Damansara pula 10 lorong).



Gunakan BORR E17 untuk memintas kesesakan E1 di Seberang Perai
(klik untuk besarkan)


Seterusnya, sebaik sahaja anda berada di Perai-Butterworth untuk ke arah Alor Setar, anda seharusnya memanfaatkan sepenuhnya Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) E17 untuk mengurangkan kesesakan di situ. Bagaimana...? Keluar dari E1 ke Jalan Bahru FT1 arah ke Butterworth di Exit 162 Persimpangan Perai dan jalan terus (naik jejambat) untuk terus ke BORR E17. Teruskan perjalanan sehingga ke penghujungnya di Exit 165 Persimpangan Sungai Dua untuk kembali semula ke E1.



Memasuki E2 dari Lebuhraya Lekas E21 dan sebaliknya di Seremban
(klik untuk besarkan)


Bagaimana pula jika hendak ke selatan...? Anda seharusnya mengelakkan daripada menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2 sehingga ke Seremban - atau lebih spesifik lagi, jajaran Nilai Utara-Seremban. Sebaliknya, anda seharusnya memanfaatkan Lebuhraya Lekas E21 sehingga ke Seremban sebelum kembali semula ke E2 melalui Persiaran Senawang 1 FT242/FT97. Kenapa pula anda mesti mengelakkan jajaran Nilai Utara-Seremban di E2...? Untuk pengetahuan anda, jajaran tersebut merupakan jajaran paling sesak di sepanjang E2. Jajaran tersebut sesak kerana di situlah pertemuan antara dua aliran trafik yang tinggi, iaitu yang datang dari arah utara melalui E6 serta yang datang dari arah Plaza Tol Sungai Besi. Sebab itulah jajaran tersebut kini sedang dilebarkan menjadi lapan lorong, yang mana kerja-kerja pelebarannya turut menjadi penyumbang kedua kepada kesesakan yang berlaku sekarang.



Memasuki Lebuhraya Lekas E21 dari Lebuhraya Elite E6
(klik untuk besarkan)


Bagaimana pula jika anda datang dari arah Lebuhraya Elite E6 untuk ke selatan...? Satu laluan alternatif yang kini banyak digunakan oleh pengguna lebuh raya bagi memintas kesesakan jajaran Nilai Utara-Seremban adalah dengan keluar dari E2 di Exit 215 Persimpangan Nilai, dan seterusnya ke Lebuhraya Lekas E21 melalui Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 dan seterusnya Jalan Nilai-Pajam FT3265 sebelum memasuki E21 melalui Exit 2103 Persimpangan Pajam. Namun, saya sekarang tidak lagi menggalakkan anda menggunakan laluan tersebut kerana FT3265 kini sudah menjadi sangat sesak, terutamanya bagi jajaran dari Nilai ke Exit 2103, memandangkan jajaran tersebut hanya selebar dua lorong sahaja.



Laluan alternatif bukan konvensional yang kurang sesak dari E6 ke E21
(klik untuk besarkan)


Jadi laluan yang manakah patut anda pilih untuk mengelakkan kesesakan di Nilai...? Dari E6, anda perlu melencong ke arah Kuala Lumpur sebentar dan keluar dari E2 melalui Exit 213 Persimpangan Putra Mahkota. Dari situ, jalan terus sehingga ke persimpangan bertingkat yang menghubungkan jalan tersebut dengan Jalan Banting-Semenyih FT31. Belok kanan ke Semenyih dan masuk ke E21 melalui Exit 2102 Persimpangan Semenyih. Jalan tersebut memang agak leceh kerana selain lebih jauh, ia juga agak berkelok-kelok, tetapi percayalah, dalam keadaan sekarang di mana FT3265 pun sesak teruk semasa musim perayaan, laluan FT31 pula sangat lengang, sekaligus anda akan sampai ke Seremban jauh lebih awal daripada pengguna lebuh raya yang tidak menggunakan laluan tersebut.

Setakat ini sahajalah panduan memintas kesesakan yang anda boleh pertimbangkan bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Panduan tersebut adalah hasil daripada pengalaman saya sendiri menggunakan laluan-laluan tersebut, namun saya tidak boleh menjamin 100% bahawa laluan yang saya cadangkan ini pasti tidak sesak, tetapi sekurang-kurangnya ia jauh lebih baik daripada membayar tol hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura dengan kelajuan purata di bawah 10 km/j. Akhir kata, rancanglah perjalanan anda dengan teliti kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

No comments:

Post a Comment