Thursday, March 20, 2014

Nilai-Klang Part 1: Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 / Labohan Dagang-Nilai Route FT32

Salam sejahtera,

Setelah lama berehat daripada menghasilkan sebarang reviu jalan raya berikutan kesibukan kerja, kali ini Blog Jalan Raya Malaysia kembali semula dengan dua lagi reviu jalan raya. Dalam siri Nilai-Klang kali ini, saya mulakan dengan reviu Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32.

Sejarah Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 ini berkait rapat dengan sejarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu sendiri. Pada tahun 1993, kerajaan persekutuan mendapati bahawa lapangan terbang lama di Subang (kod IATA: SZB) sudah tidak lagi mampu menampung keperluan pengguna pengangkutan udara di Kuala Lumpur. Ia terbukti apabila taburan pertumbuhan penduduk di sekeliling lapangan terbang tersebut yang semakin bertambah menjadikannya tidak lagi boleh dinaik taraf lagi., memandangkan lapangan terbang tersebut berada di tengah-tengah kawasan berpenduduk padat di Lembah Klang. Tambahan pula, dua kejadian kebakaran besar pada tahun-tahun terakhir perkhidmatannya sebagai lapangan terbang utama Kuala Lumpur turut memberi kesan terhadap operasi lapangan terbang tersebut.

KLIA dibuka secara rasminya pada 27 Jun 1998. Ia direka bentuk dengan 2 jalan masuk utama, iaitu laluan bertol dan laluan tanpa tol. Laluan bertol (serta laluan utama) yang saya maksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya KLIA FT26/E6 bagi laluan dari arah Lebuhraya Elite E6. Selain itu, satu lagi laluan masuk tanpa tol turut dibina dari Bandar Baru Nilai sehingga ke Kampung Labohan Dagang, Banting, dikenali sebagai Jalan Masuk Timur KLIA pada ketika itu. Ia dibina sebagai naik taraf bagi laluan lama Jalan Negeri Selangor B20. Di Negeri Sembilan pula, ia dikenali sebagai Jalan Negeri Sembilan N20. Kini, Jalan Masuk Timur KLIA B20/N20 diwartakan semula sebagai Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32.

Saya memulakan perjalanan dari pekan Nilai lama melalui Jalan Persekutuan 3265. Jika anda masuk dari arah Mantin dan Lebuhraya Lekas E21, anda pasti tidak akan terlepas jalan FT32 ini, kerana jejambat di simpang masuk tersebut sememangnya membawa anda terus ke FT32; jika anda memasuki simpang tersebut melalui lampu isyarat di situ, anda sebaliknya dilencongkan ke Nilai 3 dan anda perlu membuat pusingan-U yang agak jauh sebelum dapat berpatah balik semula ke laluan yang betul. Kes yang sama juga jika datang dari arah pekan Nilai lama; anda perlu memasuki simpang tersebut melalui susur pertama ke kiri dan bukannya susur kedua yang terletak betul-betul di persimpangan lampu isyarat. Tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat kedua yang sepatutnya melencongkan anda ke kiri, anda akan menemui satu lagi lampu isyarat, yang mana jalan terus akan membawa anda ke jalan mati. Apa lagi, belok kiri untuk teruskan perjalanan!

Simpang masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 215 Persimpangan Nilai terletak tidak jauh dari simpang jalan mati itu tadi. Ia dibina bagi menggantikan Persimpangan Nilai lama yang dibina sebagai persimpangan parclo yang dihubungkan dengan FT3265. Kesesakan FT3265 yang berpunca daripada persimpangan lama itu menyebabkan ia digantikan dengan persimpangan bertingkat baharu jenis bertenggek (stack interchange). Jalan masuk yang lebih lebar serta lokasi baharu Exit 215 itu menjadikannya lebih sesuai sebagai pintu masuk ke Nilai.

Jika dibandingkan dengan pekan lama Nilai di FT3265, Bandar Baru Nilai pula jauh lebih maju. Kebanyakan pusat beli-belah utama terletak di Bandar Baru Nilai. Begitu juga dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Nilai dan Sekolah Antarabangsa Nilai. Dataran Nilai turut dibina sebagai lokasi khas bagi mengadakan sambutan seperti perarakan Hari Kebangsaan serta Maulidur Rasul.

Ada dua bulatan utama di sepanjang jajaran FT32 di Bandar Baru Nilai. Anda hanya perlu ikut pusingan pukul 12 (jalan terus) sahaja bagi meneruskan perjalanan. Bulatan pertama menghubungkan Bandar Baru Nilai sekali lagi dengan pekan lama Nilai di FT3265, manakala bulatan kedua pula menandakan bahawa anda sudah hampir meninggalkan Negeri Sembilan dan bakal memasuki Selangor melalui daerah Sepang.

Sempadan Negeri Sembilan-Selangor terletak betul-betul selepas bulatan kedua itu. Persimpangan seterusnya pula merupakan sebuah persimpangan bertingkat yang ditandakan sebagai Exit 1, menghubungkan FT32 dengan Jalan Negeri Selangor B48 untuk ke Dengkil, Jenderam dan pekan Sepang yang sebenar. Ya, Sepang yang sebenar hanyalah sekadar pekan kecil sahaja; Bandar Baru Salak Tinggi dibina di sepanjang FT32 sebagai ibu daerah Sepang. 

Jika disebut Salak Tinggi, sudah tentu ia merujuk kepada Bandar Baru Salak Tinggi, tetapi Salak Tinggi yang asal sebenarnya sebuah kampung sahaja. Tidak seperti Bandar Baru Nilai, Bandar Baru Salak Tinggi pula lebih kecil, tetapi masih mencukupi untuk memperoleh status perbandaran, berikutan hasil tahunan yang tinggi. Pendapatan daerah Sepang yang tinggi datang daripada aktiviti di KLIA yang merupakan lapangan terbang ke-12 tersibuk di dunia.

Persimpangan berikutnya ialah Exit 2 Persimpangan Kota Warisan. Ia merupakan sebuah persimpangan berlian yang tidak siap dibina, menghubungkan antara Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dengan Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 ini. Persimpangan berlian ini hanya sekadar persimpangan tunas (stub interchange) sahaja, memandangkan jajaran terakhir FT29 dari Persimpangan Kota Warisan ke Jalan Pekeliling FT27 masih tak siap-siap, sungguhpun KLIA sudah 16 tahun dibuka. Jika jajaran terakhir FT29 ini dapat disiapkan, barulah kesesakan di persimpangan ini dapat dikurangkan.

Jarak dari Exit 2 Persimpangan Kota Warisan ke KLIA sudah tidak jauh, hanya 8 km sahaja lagi. Kadar aliran trafik semakin meningkat di sini kerana jajaran Kota Warisan-KLIA bagi FT32 ini, bersama-sama dengan FT29, merupakan laluan tanpa tol yang popular untuk ke KLIA. Simpang masuk ke KLIA melalui FT32 ini ditandakan sebagai Exit 3 Bulatan Masjid KLIA, meskipun ia sebenarnya merupakan simpang tiga biasa; bulatan yang sebenar terletak di FT27.

Sempadan daerah Kuala Langat terletak sebaik sahaja selepas melintasi Lebuhraya KLIA FT26/E6. Jajaran terakhir Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 dari KLIA ke Banting pula sangat lancar dengan kurang kenderaan. Satu lagi mercu tanda penting di sepanjang FT32 di daerah Kuala Langat ini ialah stesen janakuasa elektrik penyedia bekalan kuasa bebas (IPP) milik Genting Sanyen. Selain stesen janakuasa elektrik, kawasan tersebut juga menempatkan sebuah kilang kertas, juga milik Genting Sanyen.

Apa yang saya kurang senangi dengan penggunaan IPP ialah perjanjian bersifat berat sebelah yang seterusnya menjadi punca utama kenapa tarif elektrik terlalu kerap naik sejak akhir-akhir ini sehingga membebankan rakyat. Segala-galanya bermula dengan kejadian putus bekalan elektrik seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun 1996, yang dijadikan alasan untuk memaksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menandatangani perjanjian pembelian kuasa daripada IPP yang bersifat berat sebelah. Dalam perjanjian tersebut, TNB dipaksa untuk membeli kesemua bekalan elektrik yang dibekalkan oleh IPP, meskipun semasa permintaan bekalan elektrik rendah. Selain itu, kos spesifik bagi pembelian tenaga elektrik daripada IPP pula lebih tinggi daripada kos spesifik penjanaan tenaga elektrik sendiri oleh TNB. Misalnya, jika TNB mampu menghasilkan tenaga elektrik dengan kos sekitar 12 sen sekilowatt jam, IPP pula mengenakan harga tenaga elektrik yang lebih mahal, katakan sekitar 18 sen sekilowatt jam atau mungkin lebih daripada itu. Untuk mengelakkan daripada kerugian, maka TNB sudah tentu terpaksa menaikkan tarif yang menyebabkan pengguna akhir terpaksa membayar bil elektrik yang semakin mahal. Dengan kata lain, IPP mewujudkan rantaian "orang tengah" yang meningkatkan harga tenaga elektrik yang dibekalkan, sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku. Bukan itu sahaja, malah stesen-stesen janakuasa IPP rata-ratanya menggunakan bahan api fosil iaitu minyak dan gas, atas alasan kononnya lebih "bersih" daripada arang batu yang selalunya digunakan oleh kebanyakan stesen janakuasa terma milik TNB sendiri. Sebab itulah ramai pengguna mempersoalkan "subsidi bahan api" serta "tabung tenaga boleh baharu", kerana "subsidi" tersebut sebenarnya pergi kepada IPP kroni dan bukannya kepada rakyat - atau dengan kata lain, wang rakyat digunakan sebagai "ubat tutup mulut" bagi mengurangkan kenaikan tarif yang sudah sedia mencanak tinggi.

Kita tinggalkan cerita tarif elektrik yang membebankan itu dan kembali semula kepada pengembaraan di sepanjang FT32. Persimpangan seterusnya di Kampung Bukit Changgang melencongkan jajaran asal B20 yang merupakan jalan raya dua lorong sahaja. Persimpangan Bukit Changgang juga dijadikan sebagai  pusingan-U untuk berpatah balik ke KLIA. Oh, lupa hendak beritahu - di daerah Kuala Langat pula, persimpangan tidak pula ditandakan sebagai Exit xx sebagaimana di daerah Sepang. Sementara itu, Kampung Labohan Dagang yang mana jalan ini mendapat namanya juga sangat beruntung kerana dihubungkan melalui persimpangan bertingkat. Bukan itu sahaja, Kampung Labohan Dagang turut menempatkan sebuah kilang besi keluli yang juga dihubungkan melalui persimpangan bertingkat.

Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 berakhir di Jalan Persekutuan 31 (Jalan Banting-Semenyih) dekat Olak Lempit. Dari situ, perjalanan masih berbaki 11 km sebelum tiba ke bandar Banting untuk memulakan reviu seterusnya di sepanjang Jalan Langat FT5.

Secara amnya, Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 amat penting sebagai laluan tanpa tol utama ke KLIA. Pembinaannya membawa bersama arus kemajuan di sepanjang laluannya terutamanya berhampiran dengan KLIA itu sendiri. Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 turut menyediakan lorong motosikal di jajaran Salak Tinggi, tetapi keadaannya kurang baik kerana terdapat banyak puing-puing jalan dan sampah-sarap, yang memberi persepsi bahawa lorong motosikal itu kurang diselenggara. Sebab itulah tiada satu pun motosikal yang ingin menggunakannya. Apa pun, Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 perlu dijaga dengan baik kerana ia adalah laluan utama penduduk Nilai dan Banting (dan mungkin juga Seremban) untuk ke KLIA.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Memasuki Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 dari Jalan Persekutuan 3265 di Nilai - jangan salah pilih susur masuk, nanti melencong ke arah lain pula!






Pengguna dari Nilai yang memilih jalan susur pertama akan dipaksa ke kiri sahaja, manakala yang terlajak ke jalan susur kedua akan dipaksa jalan terus sahaja






Belok kiri di persimpangan ini kerana jalan di hadapan sebenarnya adalah jalan mati






Jalan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 215 Persimpangan Nilai






Restoran McDonald's pandu lalu di FT32






Suasana di Bandar Baru Nilai jauh berbeza dan jauh lebih maju daripada pekan lama Nilai






Pekan Nilai






Bulatan pertama FT32 di Bandar Baru Nilai - anda boleh berpatah balik semula ke pekan lama Nilai melalui bulatan ini






Papan tanda ini masih lagi menggunakan kod laluan lama bagi Jalan Labohan Dagang-Nilai






Papan tanda jarak sebaik memasuki daerah Sepang






Exit 1 ke pekan Sepang, Jenderam dan Dengkil






Simpang ke pusat bandar Salak Tinggi, ibu daerah Sepang






Melintasi landasan ERL






Exit 2 Persimpangan Kota Warisan ke Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29






KLIA sudah tinggal 8 km sahaja lagi dari Exit 2 Persimpangan Kota Warisan






Exit 3 Bulatan Masjid KLIA untuk ke KLIA dan Litar Antarabangsa Sepang






Melintasi Lebuhraya KLIA FT26/E6






Memasuki daerah Kuala Langat






Keluar ke jajaran asal jalan B20






Persimpangan Labohan Dagang






Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 berakhir di Olak Lempit

No comments:

Post a Comment