Wednesday, January 1, 2014

Selamat Tahun Baru 2014 / Happy New Year 2014




Salam sejahtera,

Kita baru sahaja meninggalkan tahun 2013 dan sedang melangkah ke tahun baru 2014. Seperti yang para pembaca sudah sedia maklum, kita bakal mengharungi tahun 2014 dengan penuh keperitan akibat kenaikan harga minyak dan seterusnya kadar tol. Dua kenaikan harga sebegini sahaja sudah menyebabkan pesta naik harga barang, dan kita boleh menjangkakan kadar inflasi yang tinggi pada tahun ini. Maka, saya menyeru kepada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya agar melancarkan kempen agresif bagi menggalakkan rakyat menggunakan jalan persekutuan yang percuma sebagai alternatif kepada lebuh raya ekspres bertol. Ia bukan sahaja menjimatkan wang dan petrol (Fakta: Majoriti kereta paling jimat minyak pada kelajuan 90 km/j), tetapi juga lebih menyeronokkan.

Sehubungan dengan itu, kami juga akan terus menyajikan kepada anda reviu-reviu jalan raya yang seronok untuk dipandu dan kaya dengan pemandangan menarik. Namun, ia bukanlah bermakna kami mahu mengetepikan lebuh raya ekspres sama sekali; sebaliknya, kami turut mempunyai perancangan untuk menguji lebuh raya jarak jauh bagi mengulangi kejayaan tahun 2013 sebagai tahun paling produktif buat Blog Jalan Raya Malaysia.

Sepanjang tahun 2013, sebanyak 29 reviu jalan raya berjaya dihasilkan. Kejayaan terbesar kami ialah penghasilan reviu-reviu jalan raya di Cameron Highlands dan Sabah. Bagi meneruskan kecemerlangan tahun 2013, ini azam baru kami sepanjang tahun 2014:-
  1. Menghasilkan reviu penuh bagi jalan-jalan persekutuan tulang belakang Semenanjung Malaysia (Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5)
  2. Menghasilkan reviu penuh bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2
  3. Mencuba Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2 setelah dibuka kelak
  4. Kembali semula ke Sabah bagi melengkapkan reviu bagi Jalan Persekutuan 1 (Kota Kinabalu-Kudat), Jalan Sapi Nangoh, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22, Jalan Sandakan-Tawau FT13, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dan Lebuhraya Kimanis-Keningau
  5. Menghasilkan reviu penuh bagi Jalan Timur-Barat Johor FT50 (Batu Pahat-Mersing)
  6. Menghasilkan reviu penuh bagi Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 dan Jalan Persekutuan 4
Namun, reviu jalan raya di atas membabitkan kos yang tinggi kerana turut melibatkan penginapan. Bagi reviu jalan raya di Sabah pula, tiket kapal terbang dan sewa kereta turut menyumbang kepada kos yang tinggi. Oleh itu, bantulah kami merealisasikan reviu-reviu jalan raya tersebut dengan menderma, sama ada melalui PayPal / kad kredit / kad debit ataupun mesin CDM / pindahan bank. Sekiranya kesemua pembaca yang melawat Blog Jalan Raya Malaysia ketika ini mendermakan hanya RM5, ia adalah mencukupi untuk menghasilkan reviu jalan raya utama di Sabah. Oleh itu, bantulah kami merealisasikan perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia.

Terima kasih atas sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia selama ini, dan kami harap anda akan terus menyokong perjuangan kami bagi tahun ini dan seterusnya.

6 comments:

  1. salam...slmt tahun baru.... sy cadangkan agar blogjalanray dapat buat analisis mengenai upcoming atau lebuhraya2 yg dalam perancangan spt highway SUKE dan KLORR, kalau buat analisis mengenai highway yg dlam perancangan ni, maybe dapat kurangkan sikit kos...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cadangan yang baik... Insya-Allah jika ada kesempatan saya akan cuba menganalisis beberapa lebuh raya yang bakal dibina itu.

      Delete
  2. thanks coz sudi pertimbangkan idea itu, pasal highway KLORR agak kontroversi pasal bakal memotong sebahagian banjaran titiwangsa dan SUKE pulak, bakal dikatakan bakal dibina secara elevated spt AKLEH disepanjang jalan ampang bermula dari bkt belacan sampai ke hotel flamingo

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebahagian daripada jajaran SUKE pula menggunakan jajaran KL MRR2 FT28 sedia ada.

      Delete
  3. Salam bro shinoda, nak tanya pendapat saudara berkenaan motor modenas gt128, 118efi dan yamaha 115z (fuel injection), mana satu paling berbaloi beli, yg penting jimat minyak, penyelenggraan murah dan tahan lasak, tqvm -nik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Antara ketiga-tiga model tersebut, Modenas GT128 menang dari segi kos penyelenggaraan (disebabkan jarak waktu servis GT128 adalah yang paling panjang antara ketiga-tiganya). Yamaha Lagenda Fuel Injection lebih jimat minyak sedikit daripada GT128, manakala dari segi ketahanan lasak, ketiga-tiganya tahan lasak.

      Delete