Tuesday, January 21, 2014

EKSKLUSIF: Dasar Automotif Nasional 2014 / EXCLUSIVE: 2014 National Automotive Policy


Barisan pemasangan di kilang Proton di Tanjung Malim
(Kredit gambar: Paul Tan)

Salam sejahtera,

Detik yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba. Pindaan tahun 2014 bagi Dasar Automotif Nasional (NAP) baru sahaja diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Sri Mustapa Mohamed pada 20 Januari 2014 di Matrade. Pindaan tersebut dilakukan berikutan kritikan terhadap Dasar Automotif Nasional yang selama ini dianggap cincai tanpa sebarang hala tuju, termasuklah pindaan tahun 2009. Pindaan tahun 2014 kali ini nampaknya sudah mula ada hala tuju yang lebih jelas, meskipun masih ada lagi perkara yang saya masih tidak berpuas hati.

Tidak seperti pindaan NAP sebelum ini yang dilihat begitu cincai, pindaan tahun 2014 kali ini menyentuh mengenai isu-isu utama yang dihadapi industri automotif Malaysia sekarang, iaitu:-
  1. Penggunaan teknologi automotif yang lapuk dan ketinggalan zaman, terutamanya oleh vendor
  2. Bilangan eksport yang sangat rendah sehingga kurang daripada sepersepuluh jumlah import kenderaan
  3. Isu permit import (AP)
  4. Tenaga kerja kurang mahir dari kalangan pekerja asing
  5. Harga minyak yang semakin mahal tetapi standard bahan api pula terlalu rendah dan tidak setimpal
  6. Piawaian keselamatan yang masih terlalu rendah
  7. Kesan alam sekitar akibat penggunaan piawaian emisi dan penggunaan bahan api yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman

Objektif utama bagi pindaan NAP 2014 kali ini ialah:-

  1. Mempromosi industri automotif domestik secara kompetitif dan berkekalan 
  2. Mentransformasikan Malaysia sebagai hab automotif bagi kenderaan cekap tenaga (EEV)
  3. Mempromosi aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi
  4. Memperkukuh eksport kenderaan dan komponen
  5. Menggalakkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam rangkaian nilai industri automotif domestik 
  6. Melindungi kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang lebih selamat dan berkualiti pada harga kompetitif






Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.









Spesifikasi kenderaan cekap tenaga (EEV) yang didefinisikan dalam NAP 2014
(Kredit gambar: Berita Harian)


Intipati yang terdapat dalam pindaan NAP 2014 ialah:-
  1. Insentif kenderaan cekap tenaga (EEV) - pindaan NAP 2014 akhirnya baru hendak mengumumkan insentif bagi menggalakkan penghasilan model-model kenderaan cekap tenaga (EEV), yang dimodelkan daripada Program Kereta Eko di Thailand dan Program Kereta Hijau di Indonesia. Ia satu permulaan yang cukup bagus bagi menggalakkan penghasilan kereta-kereta yang lebih berkuasa tetapi lebih jimat minyak dan lebih mesra alam. Insentif EEV ini merangkumi majoriti kelas kereta, daripada sekecil-kecil kei car dan kereta bandar raya (segmen A) sehinggalah kepada kereta-kereta mewah (segmen F). Insentif EEV ini turut merangkumi motosikal bawah 250 cc.
  2. Sasaran NAP 2014 - NAP 2014 mensasarkan peningkatan tenaga manusia dalam industri automotif daripada 250,000 orang bagi segmen perkilangan pada tahun 2013 kepada 320,000 orang pada tahun 2020. Selain itu, NAP 2014 juga mensasarkan peningkatan jumlah isipadu pengeluaran (TPV) dan jumlah isipadu industri (TIV) masing-masing 1.25 juta unit dan sejuta unit pada tahun 2020 - naik dua kali ganda daripada jumlah sekarang - dan jumlah eksport pada tahun 2020 disasarkan pada 250,000 unit, iaitu seperlima daripada TPV tahun 2020, berbanding eksport semasa yang hanya sekitar 20,000 unit, lebih kurang sepertigapuluh daripada TPV tahun 2013.
  3. Insentif kereta hibrid dan elektrik - Program rebat cukai import dan cukai eksais 100% bagi kereta hibrid bawah 2,000 cc serta kereta elektrik sepatutnya sudah ditamatkan pada 31 Disember 2013. Namun, pengecualian cukai diteruskan sehingga 31 Disember 2015 bagi kereta hibrid dan 31 Disember 2017 bagi kereta elektrik, dengan syarat kereta tersebut mestilah model CKD (pemasangan tempatan). Tiada pelanjutan tempoh pengecualian cukai import dan eksais ditawarkan bagi kereta import sepenuhnya (CBU).
  4. Penerokaan peluang perniagaan baharu - NAP 2014 mensasarkan penerokaan peluang perniagaan baharu hasil pertumbuhan industri automotif negara. Antara perniagaan baharu yang boleh diterokai termasuklah industri tuangan dan penempaan logam, industri keluli gred automotif, dsb.
  5. Pembentukan vendor-vendor yang kompetitif di peringkat global - NAP 2014 mensasarkan lebih banyak vendor tempatan bertaraf dunia dapat dilahirkan, iaitu seramai 180 vendor disasarkan untuk memperoleh keupayaan vendor aras lima.
  6. Penurunan harga kereta - Penurunan harga kereta dicapai melalui Rangka Kerja Penurunan Harga Kereta (CPR) yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ia tidaklah dicapai melalui pemotongan cukai import dan cukai eksais semata-mata seperti yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat, tetapi pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan harga, dan faktor yang paling utama ialah liberalisasi industri automotif tempatan. Liberalisasi industri automotif menjadikan persekitaran industri lebih kompetitif, dan persaingan sesama pemain industri seterusnya membawa kepada penawaran harga kereta yang lebih murah untuk menarik pengguna sasaran. Liberalisasi industri automotif juga membawa kepada pertumbuhan skala ekonomi yang seterusnya membawa kepada penurunan kos pengeluaran dan seterusnya harga kereta. Hasilnya, varian berspesifikasi rendah yang ditawarkan dengan harga murah seperti Proton Saga SV, Proton Persona SV, dan varian Perodua Siri S (Viva dan Myvi) menguasai 30% daripada jualan tahun 2013, dan angka ini bakal meningkat kepada 55% pada tahun ini. Setakat ini, terdapat beberapa model yang mana kos pengeluarannya berjaya dikurangkan, seperti Honda Jazz (17%), Nissan Almera (13%), Proton Saga (12%) dan Perodua Alza (12%).
  7. Permit import (AP) - Sistem AP terbuka bakal dimansuhkan pada tahun 2015 manakala sistem AP francais pula bakal menyusul pada tahun 2020.

Sungguhpun pindaan NAP kali ini jauh lebih komprehensif berbanding dua versi terawalnya, namun terdapat beberapa isu utama yang masih tidak memuaskan hati saya:-
  1. Piawaian emisi - Perkara yang paling tidak memuaskan hati saya ialah berkenaan dengan penguatkuasaan piawaian emisi. Malaysia sudah pun ketinggalan jauh dalam penguatkuasaan piawaian emisi. Indonesia sudah pun menguatkuasakan piawaian emisi Euro 3 pada tahun 2013, tetapi Malaysia masih lagi terus menggunakan piawaian emisi lama Euro 2 yang mula dikuatkuasakan pada tahun 1997. Tok Pa, apa dah jadi ni...? Dato' Sri Mustapa menyatakan bahawa piawaian Euro 4 hanya akan dikuatkuasakan sebaik hasil kajian mengenai pembangunan piawaian bahan api Euro 4M selesai. Kajian mengenainya sepatutnya disiapkan pada tahun 2011, dan seterusnya dianjak ke tahun 2012, dan kemudian ia dianjak lagi ke tahun 2014 - lewat 3 tahun daripada sepatutnya. Berapa lama mahu tunggu lagi...? Mahu rakyat menunggu dan terus menunggu sehingga kucing bertanduk...? Tak bolehkan angka-angka piawaian asal Euro 4 dijadikan angka-angka tentatif sebelum dimuktamadkan sebaik sahaja kajian sudah siap...? Angka-angka bagi piawaian Euro 4 dan seterusnya terlalu mudah dicari dalam Wikipedia, itu pun susah sangat ke nak kaji...? Selain itu, satu-satunya parameter yang diambil kira dalam piawaian emisi yang hendak dikuatkuasakan hanyalah kandungan karbon dioksida semata-mata, sedangkan piawaian emisi turut mengehadkan penghasilan gas karbon monoksida, hidrokarbon tak terbakar, nitrogen oksida, jelaga dan partikel halus. Saya berasa amat kesal kerana ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakan piawaian emisi yang lebih terkini.
  2. Tiada insentif EEV bagi motosikal 250 cc ke atas - Insentif kenderaan cekap tenaga merangkumi hampir keseluruhan kelas kereta, tetapi tidak pula bagi motosikal. Insentif EEV hanya diumumkan bagi motosikal bawah 250 cc - atau lebih tepat lagi, motosikal kapcai. Ia satu lagi petunjuk utama bahawa industri motosikal negara terus dianaktirikan. Apakah motosikal tidak layak dinamakan sebagai kenderaan cekap tenaga, walhal pada realitinya motosikal ternyata jauh lebih jimat minyak dan jauh lebih cekap tenaga daripada kereta...? Diskriminasi sebegini sudah tentunya boleh menyebabkan pasaran Modenas terus terencat kerana hanya sekadar bersaing dalam pasaran motor kapcai yang hampir tepu.
  3. Angka-angka penggunaan bahan api yang terlalu mudah dicapai dan kabur - Satu pujian utama saya bagi NAP pindaan tahun 2014 ini ialah NAP 2014 kali ini meletakkan sasaran penggunaan bahan api bagi setiap kelas kereta dan motosikal. Namun, apa yang saya tidak berpuas hati ialah angka-angka yang ditunjukkan itu merupakan angka-angka purata yang mudah dicapai oleh kebanyakan kenderaan. Bukan itu sahaja, malah saya turut mempersoalkan mengenai piawaian pengukuran penggunaan bahan api, yang saya sifatkan sebagai mengelirukan. Piawaian jenis apa yang digunakan untuk mengukur penggunaan bahan api...? Tak bolehkah nyatakan piawaian mana yang digunakan, misalnya mengukur penggunaan bahan api semasa di jalan raya bandar dan luar bandar...? Tidak cukup dengan itu, angka-angka penggunaan bahan api tersebut tidak dinyatakan sama ada bagi model petrol ataupun diesel. Tok Pa sepatutnya turut meletakkan sasaran penggunaan bahan api bagi kereta diesel, kereta hibrid dan kenderaan elektrik dalam jadual tersebut.
  4. Tiada insentif EEV bagi kenderaan komersial - Selain kereta dan motosikal, Malaysia sebenarnya turut mengeluarkan kenderaan komersial seperti bas dan lori. Malangnya, tiada insentif EEV ditawarkan bagi kenderaan komersial tersebut, sedangkan kenderaan komersial juga membayar cukai jalan dan menggunakan jalan raya biasa sebagaimana kenderaan lain. Jadi adakah kerajaan sekadar mahu membiarkan sahaja lori-lori dan bas-bas menghasilkan asap hitam yang menyesakkan pernafasan...?
  5. Tiada inisiatif pembinaan infrastruktur bagi kereta elektrik - Satu lagi kecacatan ketara dalam NAP 2014 ialah pindaan NAP kali ini langsung tidak ada menyentuh mengenai peranan pemain industri automotif, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun pembekal tenaga elektrik dalam menyediakan infrastruktur khusus untuk mengecas bateri kenderaan elektrik. Apa gunanya kenderaan elektrik kalau tiada stesen mengecas...? Masalah mengecas kenderaan elektrik paling ketara di bandar raya besar yang mana penduduknya tinggal di pangsapuri, seperti di Kuala Lumpur. Harus diingat, penghuni-penghuni pangsapuri ini tiada soket khas bagi membolehkan mereka mengecas kenderaan elektrik masing-masing. Lihat sahajalah nasib yang menimpa Modenas CTric, meskipun ia sepatutnya menjadi kebanggaan negara kerana menjadi model motosikal elektrik pertama di Malaysia, namun setakat ini saya tidak pernah nampak pun ada orang KL yang menggunakannya - semuanya kerana tiada infrastruktur khas bagi membolehkan pengguna mengecas kenderaan elektrik mereka.
  6. Langsung tiada menyebut mengenai piawaian keselamatan kenderaan - Satu lagi kecacatan besar dalam NAP 2014 ini ialah ia langsung tidak ada menyebut mengenai inisiatif menggalakkan pengeluar kereta menghasilkan kereta yang lebih selamat serta dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang menyeluruh. Akibatnya, terdapat syarikat automotif yang mengendahkan soal keselamatan pemandu dan penumpang di dalam kereta buatannya, seolah-olah nyawa pemandu Malaysia terlalu murah. Contoh yang paling ketara ialah Toyota Vios yang tidak dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) walaupun pada varian termahal. Sungguhpun kita ada fasiliti bagi melakukan ujian pelanggaran, namun kerajaan langsung tidak pernah mewajibkan penerapan ciri-ciri keselamatan dalam kereta. Akhirnya, tercetuslah mentaliti "tak apa" di kalangan pengguna; demi jenama, ciri keselamatan tidak diambil kisah sungguhpun dibayar dengan harga yang begitu mahal.

Kesimpulannya, sungguhpun pindaan NAP 2014 kali ini jauh lebih baik daripada NAP 2006 dan 2009, namun masih terdapat banyak lagi perkara yang tidak memuaskan hati saya. Memandangkan ia baru sahaja dibentangkan, maka masih sempat untuk memindanya semula bagi memastikan kelestarian industri automotif negara. Memandangkan Malaysia mempunyai syarikat kereta (Proton dan Perodua) dan syarikat motosikal (Modenas), maka Malaysia sepatutnya menjadi pemimpin serantau bagi pasaran automotif dan bukannya terus menjadi pengikut.

1 comment: