Tuesday, November 19, 2013

Teknik pemanduan jimat bahan api / Hypermiling for dummies




Salam sejahtera,

Harga petrol sekarang sudah semakin mahal dan tidak mungkin akan turun dalam tempoh terdekat ini. Kos sara hidup semakin meningkat. Kadar inflasi bertambah. Maka, kita terpaksa berjimat-cermat dalam apa jua yang kita lakukan agar pendapatan bulanan kita mencukupi sehingga ke bayaran gaji seterusnya, meskipun kuasa beli kita semakin menurun. Jika berkereta, mungkin kita terpaksa mengambil keputusan untuk menggunakan motosikal sebagai kenderaan pengangkutan harian ke pejabat. Namun, dalam konteks Malaysia yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun, tidak mungkin kita berupaya menggunakan motosikal sepanjang masa terutamanya ketika hujan lebat. Mahu tidak mahu, kita terpaksa juga menggunakan kereta dan belajar mengurangkan penggunaan bahan api yang biasanya lebih kurang tiga hingga empat kali ganda berbanding motosikal kapcai biasa.

Sebut tentang penggunaan bahan api, kita perlu ambil perhatian bahawa kereta biasanya paling kuat makan minyak ketika di bandar kerana banyak melibatkan pecutan, nyahpecutan dan pemberhentian kerap. Sebaliknya, kebanyakan kereta paling jimat minyak apabila dipandu di jalan persekutuan luar bandar yang lengang dan seterusnya menggunakan lebih petrol semasa di lebuh raya ekspres (tetapi tidak selahap ketika di dalam bandar). Berbeza pula dengan kereta kei-car seperti Perodua Kancil atau Perodua Viva yang mana enjinnya paling jimat minyak ketika di dalam bandar tetapi meraung kuat apabila di lebuh raya ekspres.

Berikut merupakan teknik asas yang anda boleh amalkan untuk penjimatan petrol yang lebih baik:-


1. Kurangkan penggunaan kereta

Cara paling baik bagi mengurangkan perbelanjaan petrol bulanan anda ialah dengan meminimakan penggunaan kereta dengan mengehadkannya pada penggunaan yang perlu sahaja. Kalau sekadar hendak ke kedai runcit yang berdekatan ataupun ke masjid, lebih baik anda gunakan motosikal sahaja, kecuali semasa hujan ataupun jika anda perlu mengangkut banyak muatan atau penumpang yang tidak mampu diangkut menggunakan motosikal.


2. Kurangkan melahu

Salah satu punca utama kereta anda begitu lahap di bandar ialah kerana banyak melahu terutamanya semasa parkir ataupun dalam kesesakan jalan raya. Matikan enjin jika anda perlu berhenti dalam jangka masa yang agak lama. Selain itu, jika anda baru sahaja menghidupkan enjin, jangan tunggu lama-lama - terus jalan kerana kereta sekarang mengambil masa yang lebih pendek untuk dipanaskan.


3. Sentiasa selenggara kenderaan anda secara berkala

Sentiasa servis kenderaan anda secara berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Minyak enjin yang sudah lama tidak ditukar akan menyebabkan geseran yang lebih tinggi pada enjin berikutan kandungan keladak yang tinggi. Sesetengah pengeluar mencadangkan agar anda menggunakan minyak enjin yang cair (seperti SAE 10W-30) atas alasan lebih menjimatkan kerana kelikatan yang rendah, tetapi saya kurang bersetuju kerana minyak yang cair kurang berkesan untuk melincirkan bahagian enjin semasa kelajuan tinggi pada suhu yang tinggi.

Selain minyak enjin, penapis udara yang dibersihkan dengan kerap juga membantu menjimatkan bahan api. Ia sebenarnya boleh dilakukan sendiri dengan mudah - hanya buka penutup penapis udara, tanggalkan elemen penapis, bersihkan penapis (sama ada menggunakan udara bertekanan tinggi, pembersih hampagas, ataupun mengetuk-ngetuk elemen penapis bagi menanggalkan habuk dan serangga yang terperangkap) dan akhir sekali pasang semula elemen penapis udara tersebut. Sebaliknya, penapis udara yang dibiarkan kotor dan tersumbat pula akan menyebabkan enjin lebih pelahap kerana lebih banyak halangan untuk udara memasuki enjin.

Di samping itu, anda juga perlu memastikan tekanan tayar yang betul. Biasanya anda perlu mengikut spesifikasi pengeluar bagi tekanan angin tayar, tetapi anda boleh meningkatkan sedikit tekanan angin tayar jika membawa beban yang banyak.


4. Jangan bawa muatan berlebihan

Membawa muatan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan dalam penggunaan bahan api kerana lebih kuasa diperlukan untuk mengangkut lebihan muatan. Misalnya, kereta yang dipenuhi muatan sehingga mencapai 2 kali ganda beratnya memerlukan lebih 8 kali ganda kuasa daripada kereta sama yang tiada muatan lain melainkan diri anda sendiri.


5. Patuhi had laju

Tahukah anda, bahawa Had Laju Kebangsaan 90 km/j di jalan persekutuan merupakan kelajuan di mana majoriti kenderaan berfungsi dalam keadaan yang paling cekap dan optimum? Pada kelajuan sebegini, kenderaan menggunakan paling kurang bahan api. Sebaliknya, memandu melebihi 90 km/j pula lebih banyak menggunakan petrol; misalnya, memandu pada 110 km/j memakan 25% lebih petrol daripada 90 km/j. Namun, sekali lagi ia bergantung kepada jenis kenderaan, kerana ada kenderaan yang mempunyai titik optimum pada kelajuan yang lebih tinggi; misalnya, Honda City dan Proton Preve paling jimat bahan api pada kelajuan 100 km/j berikutan nisbah gearnya.


6. Tambah baik aerodinamik

Memasang rak barangan di bahagian bumbung kereta ataupun penggunaan spoiler secara sebarangan boleh mengganggu aerodinamik kenderaan kerana ia mewujudkan rintangan udara yang lebih tinggi. Jika anda tidak mengangkut barangan di atas kereta, tanggalkan rak tersebut. Bagi kes spoiler pula, gunakan hanya spoiler tulen keluaran pengeluar kereta anda. Jangan pasang spoiler cap ayam yang tidak diuji tahap aerodinamiknya; jika anda mengalami peningkatan penggunaan bahan api akibat penggunaan spoiler, tanggalkan spoiler tersebut.

Selain itu, membuka tingkap juga boleh mengganggu aerodinamik dan boleh meningkatkan penggunaan bahan api. Benar, penggunaan penyaman udara boleh meningkatkan penggunaan petrol, tetapi pada kelajuan 80 km/j pula, memandu dengan penyaman udara dihidupkan adalah lebih menjimatkan daripada memandu dengan tingkap terbuka.


7. Pilih gear yang betul

Semasa di jalan raya yang rata, banyakkan penggunaan gear tinggi supaya dapat mengurangkan pembaziran petrol semasa meluncur pada kelajuan malar. Sebuah kereta dengan enjin 110 kuasa kuda hanya memerlukan sekitar 10-15 kuasa kuda sahaja untuk mengekalkan kelajuan 100 km/j. Namun, ketika di jalan raya pergunungan, anda perlu lebih banyak menggunakan gear rendah - bukan sahaja untuk mendapatkan brek enjin semasa menuruni bukit, tetapi bagi memastikan anda memperoleh kuasa mencukupi ketika menaiki bukit. Menggunakan gear tinggi di jalan raya pergunungan adalah tidak praktikal, malah ia sebenarnya lebih banyak menggunakan bahan api kerana campuran udara-bahan api yang lebih tebal diperlukan untuk memaksa enjin menarik kenderaan menaiki bukit.


8. Manfaatkan momentum dan kurangkan pecutan / nyahpecutan

Seperti mana-mana jirim yang lain, kenderaan mempunyai inersianya yang tersendiri yang merupakan rintangan terhadap pecutan dan nyahpecutan. Dengan kata lain, kenderaan yang lebih besar lebih lambat hendak memecut dan lebih lambat untuk diperlahankan dan diberhentikan. Anda boleh melakukannya dengan bertanya pada diri anda sendiri, berapa laju yang anda mahukan? Sebaik sahaja kenderaan sudah mencapai kelajuan yang dikehendaki, lepaskan pendikit dan main-main pendikit dengan perlahan dan lembut hanya sekadar untuk mengekalkan kelajuan. Dengan mengekalkan momentum, anda sebenarnya boleh menjimatkan bahan api dengan ketara.


9. Manfaatkan paparan penggunaan bahan api

Kebanyakan kereta moden kini dilengkapi dengan paparan penggunaan bahan api yang disepadukan pada paparan LCD pada panel meter. Unit yang digunakan ialah sama ada kilometer seliter (km/L) ataupun liter setiap 100 kilometer (L/100 km). Manfaatkan sepenuhnya paparan penggunaan bahan api tersebut dengan mensasarkan angka setinggi mungkin bagi yang menggunakan unit km/L, ataupun serendah mungkin bagi yang menggunakan unit L/100 km. Dengan memanfaatkan paparan tersebut, ia secara tidak langsung mendidik anda untuk menggunakan teknik pemanduan yang lebih jimat minyak.


10. Teknik "denyut dan luncur" (pulse and glide)

Jika anda mahukan lebih penjimatan, anda boleh cuba menggunakan teknik ini. Bagi yang memandu kereta transmisi manual, caranya begini - dari gear satu, tekan habis injak pendikit, cepat-cepat tukar gear dua, tekan habis injak pendikit, cepat-cepat tukar terus ke gear lima, dan akhir sekali main-main injak pendikit dengan perlahan sekadar untuk mengekalkan momentum sebaik memperoleh kelajuan yang diingini. Tujuan utama teknik sebegini ialah untuk memanfaatkan sepenuhnya kilasan enjin untuk mendapatkan momentum kenderaan dan seterusnya mengekalkannya pada penggunaan bahan api minima. Teknik sebegini memang agak sukar untuk dikuasai terutamanya dalam kawasan bandar, tetapi percayalah, teknik "denyut dan luncur" (1-2-5) sebenarnya mampu membantu menjimatkan penggunaan petrol dengan ketara berbanding teknik penukaran gear berjujukan konvensional (1-2-3-4-5).

Bagi kenderaan yang menggunakan transmisi automatik konvensional atau CVT, ia lebih mudah dilakukan - hanya tekan injak pendikit dengan kuat sehingga mencapai kelajuan yang diingini dan lepaskan injak pendikit sebaik mencapai kelajuan yang diingini - sekali-sekala hanya perlu pijak injak pendikit dengan perlahan dan lembut sekadar untuk mengekalkan momentum.


11. Ramal tindakan pemandu di hadapan anda

Setiap kali berada di bandar, sentiasa perhatikan tindak-tanduk kenderaan di hadapan anda. Sebaik sahaja anda ternampak kenderaan hadapan menggunakan isyarat membelok, anda boleh memperlahankan kenderaan secara beransur-ansur. Begitu juga semasa di persimpangan lampu isyarat; apabila anda nampak sahaja lampu kuning, mula perlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti (bukannya pecut lebih laju); jalan ketika lampu kuning jika dan hanya jika anda meramalkan bahawa anda tidak sempat untuk berhenti.

Pemandu yang tidak menggunakan lampu isyarat membelok ketika hendak keluar masuk simpang atau menukar lorong memang wajar disumpah-seranah kerana pemandu bebal tersebut boleh menyebabkan anda kerugian 5 hingga 25% penggunaan petrol - atau dengan kata lain, antara RM5.25 hingga RM26.50 jika anda menggunakan kereta Proton Persona dengan muatan tangki 50 liter.


12. Gunakan penyaman udara sekadar perlu sahaja

Penggunaan penyaman udara memakan kuasa enjin sebanyak 10%, namun pada kelajuan lebih 80 km/j penggunaan penyaman udara sebenarnya lebih jimat minyak berbanding membuka tingkap. Oleh itu, jika anda berasa kurang selesa, setkan suhu penyaman udara sekadar cukup sejuk sahaja mengikut keadaan cuaca sekeliling dan bukannya full-blast sepanjang masa.

2 comments:

  1. Tuan, KLIMS saya dah upload, boleh cek di http://goo.gl/XWerNw

    ReplyDelete