Sunday, October 6, 2013

Melawat semula SKVE E26: Lebuh raya dua lorong di Seksyen 3 / SKVE E26 revisited: Two-lane expressway at Section 3

Salam sejahtera,

Pada pertengahan tahun lalu, saya telah pun menguji SKVE E26 semasa Seksyen 2 lebuh raya tersebut dari Saujana Putra ke Telok Panglima Garang telah dibuka dengan rasminya. Hampir setahun setengah kemudian, saya kembali semula ke SKVE E26 setelah jajaran terakhir lebuh raya tersebut ke Pulau Indah dibuka dengan rasminya.

Seperti biasa, saya memulakan perjalanan dari arah Lebuhraya Kajang SILK E18 dekat Universiti Tenaga Nasional (Uniten), kerana saya ingin mengetahui sejauh mana perubahan kadar aliran trafik di sepanjang SKVE E26 selepas hampir setahun setengah. Jajaran percuma SKVE E26 masih juga sibuk seperti biasa. Sementara itu, kadar aliran trafik di sepanjang Seksyen 1b (Exit 2606 Persimpangan SKVE-Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra) dan Seksyen 2 semakin meningkat, memandangkan jajaran tersebut membolehkan pengguna lebuh raya untuk ke Banting. Buat masa sekarang, lebih kurang separuh daripada gerai-gerai di Kawasan Rehat dan Rawat Tanjung Dua Belas di kedua-dua hala sudah pun dibuka, cuma masih belum ada stesen minyak lagi.

Saya mula memasuki Seksyen 3 sebaik sahaja melepasi Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang. Dalam reviu bagi jajaran terdahulu, saya telah pun memberikan bayangan bahawa jajaran terakhir SKVE E26 bakal dibina sebagai lebuh raya dua lorong, yang mana memang betul pun. Untuk pengetahuan anda, SKVE E26 Seksyen 3 merupakan lebuh raya ekspres dua lorong sebenar kedua yang dibina dengan kawalan masuk penuh, hanya di belakang Lebuhraya Senai-Desaru E22. Kenapa dua lorong dan bukannya empat lorong seperti biasa? Baca reviu ini sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

SKVE E26 melintasi Jalan Banting FT5 dan seterusnya Jambatan Sungai Langat untuk memasuki Pulau Carey. Sebaik memasuki Pulau Carey, hanya ada kelibat estet kelapa sawit sehingga hampir 20 km. Maka tidak hairanlah kenapa jajaran ini sangat lengang. Jika lebuh raya yang sangat lengang sebegini terus dibina 4 lorong, maka sudah tentulah SKVE Holdings akan mengalami masalah kewangan akibat unjuran trafik yang terlalu rendah. Lagipun, bukannya ada apa-apa yang menarik pun di Pulau Indah daripada sekadar pelabuhan semata-mata.

Binaan pertama yang saya temui sebaik memasuki Pulau Carey hanyalah sepasang stesen penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Tidak seperti stesen penguatkuasaan di jalan raya dua lorong biasa yang hanya dibina sebuah sahaja dan salah satu hala perlu membelok ke kanan, stesen penguatkuasaan di Pulau Carey ini pula memang dibina sepasang bagi mengelakkan pengguna daripada membelok ke kanan. Dengan kata lain, unsur kawalan masuk penuh masih dapat diterapkan meskipun sekadar lebuh raya tunggal dua lorong.

Setelah menunggang dengan penuh sabar di sepanjang lebuh raya dua lorong yang sangat lengang ini, saya akhirnya tiba di Jambatan Selat Lumut... eh...? Mana perginya Exit 2610 Persimpangan Pulau Carey...? Bukankah dalam blueprint asal lebuh raya tersebut sepatutnya ada dibina persimpangan tersebut? Sepanjang Pulau Carey, hanya ada estet kelapa sawit dan perkampungan Orang Asli Mah Meri, jadi adalah tidak berbaloi untuk membina persimpangan tersebut terlebih dahulu. Mungkin setelah Pulau Carey semakin maju barulah persimpangan tersebut akan dibina.

Jambatan Selat Lumut merupakan mercu tanda utama di sepanjang SKVE E26 Seksyen 3 ini. Selain daripada menjadi jambatan tertinggi di Selangor (ketinggian maksimum: 25 m dari aras laut), ia juga merupakan satu-satunya jambatan di Malaysia yang dilengkapi lorong kecemasan lori. Kenapa pula perlu ada lorong kecemasan lori, bukankah SKVE E26 melalui kawasan tanah rendah? Jambatan tersebut sebenarnya sangat hampir dengan Plaza Tol Pulau Indah, jadi SKVE Holdings mahu mengelakkan kes lori melanggar plaza tol seperti yang sering berlaku di Jelapang sebelum ini, memandangkan jambatan ini mempunyai kecerunan 4%. Selain itu, keadaan SKVE E26 Seksyen 3 yang dibina 2 lorong sahaja menyebabkan ada kecenderungan oleh segelintir pemandu bebal untuk makan jalan akibat memotong ketika sudah terlalu dekat. Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sungai Johor E22 juga mempunyai kecerunan sama iaitu 4%, tetapi tiada lorong kecemasan lori kerana kedua-dua jambatan tersebut dibina sebagai jambatan lebuh raya kembar, jadi tiada kecenderungan untuk makan jalan semasa memotong.

Akhirnya saya tiba di Plaza Tol Pulau Indah, plaza tol terakhir di sepanjang SKVE E26. Sepatutnya ada sepasang hentian rehat dibina sebaik sahaja selepas plaza tol tersebut, tetapi buat masa sekarang ia masih belum dibina lagi. Ia mungkin akan mula dibina sebaik sahaja bilangan pengguna lebuh raya yang hendak ke Pulau Indah meningkat, dan kalau ia dibina sekalipun, ia hanya akan dibina sebagai hentian rehat kecil sahaja. SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah.

Satu-satunya persimpangan bertingkat yang dibina buat masa ini di sepanjang Seksyen 3 ialah Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah di KM52, dihubungkan ke sebatang jalan raya baharu yang masih belum siap sepenuhnya untuk ke Pelabuhan Barat. Hanya jalan menghala Pelabuhan Barat sahaja yang dibuka, manakala jajaran ke Zon Bebas Pulau Indah pula masih belum dibina.

Secara amnya, jajaran terakhir bagi SKVE E26 ini dibina dengan mutu kejuruteraan tertinggi, memandangkan majoriti pengguna sasaran bagi jajaran ini terdiri daripada lori-lori yang hendak ke Pelabuhan Barat. Berbeza dengan jajaran terakhir Lebuhraya Senai-Desaru E22 yang dikecam kerana dibina hanya dua lorong sahaja, saya tidak ada mendengar sebarang bentuk komplen pun mengenai jajaran terakhir SKVE E26 ini, berikutan kualiti turapan yang sangat bagus dan keadaan lebuh raya yang sangat lengang. Maka, memang berpatutan jika Seksyen 3 ini dibina hanya 2 lorong sahaja dan bukannya 4 sebagaimana kelaziman.

Jika anda terlepas reviu jajaran terdahulu SKVE E26, anda boleh membacanya di sini.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E26
Panjang: 52 km
Arah laluan: Timur-barat (Pelabuhan Barat-Uniten)
Bilangan lorong: 2 (Telok Panglima Garang-Plaza Tol Pulau Indah); 4 (Plaza Tol Ayer Hitam-Saujana Putra; Tanjung Dua Belas-Telok Panglima Garang); 6 (Uniten-Plaza Tol Ayer Hitam; Saujana Putra-Tanjung Dua Belas)
Senarai persimpangan: Klik sini







SKVE menggunakan papan tanda sebegini untuk menunjukkan zon lebuh raya dua lorong






Memasuki zon lebuh raya dua lorong






Melintasi Jalan Banting FT5






Menaiki Jambatan Sungai Langat untuk ke Pulau Carey






Satu-satunya jalan raya bebas tol di Pulau Carey






Keadaan di SKVE E26 Seksyen 3 sangat lengang






Lorong kecemasan lori di pangkal Jambatan Selat Lumut






Menaiki Jambatan Selat Lumut






Pemandangan Selat Lumut dari atas jambatan






Plaza Tol Pulau Indah






Kawasan Rehat dan Rawat Pulau Indah hanya akan mula dibina sebaik sambutan pengguna lebuh raya menggalakkan






SKVE E26 kembali menjadi lebuh raya kembar 4 lorong sebaik melepasi Plaza Tol Pulau Indah






Exit 2611 Persimpangan Pulau Indah

9 comments:

  1. Entri terbaru saya berkaitan kempen keselamatan jalan raya. Silakan ke http://apieymarakmembakar.blogspot.com/2013/10/sekitar-kempen-keselamatan-jalan-raya.html

    ReplyDelete
  2. Nak tanye, jarak diantara kedua-dua Stesen Penguatkuasaan JPJ yang dekat Pulau Carey tu dekat ke dengan jalan dua hala tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kedua-duanya terletak berseberangan sahaja.

      Delete
    2. Rasanya salah satu Stesen Penguatkuasaan JPJ perlu dialihkan ke tidak jikalau pihak SKVE mahu membesarkannya kepada lebuhraya empat/enam lorong seperti jajaran lain (Kalau mereka nak)(Sebab trafik meningkat)?

      Delete
    3. Kalau tak cukup ruang, memang kena alih.

      Delete
    4. Untuk makluman, kedua2 lorong yg sediada ni memang dibina atas alignment east bound..manakala west bound akan dibina apabila trafik dah capai tahap yg diperlukan..
      Kedudukan stesen jpj bukan sahaja telah mengambilkira alignment west bound tetapi juga untuk perlebaran lorong ketiga..

      Rasanya naiktaraf akan dilakukan apabila WCE siap..trafik bertambah..

      Delete
  3. SKVE mengalami settlement yang teruk antara km28-km31.
    Kerja2 balik pulih sedang dijalankan. Saya sakit hati bila jumpa keadaan begini berlaku. Highway yang masih baru and traffik rendah tapi sudah rosak.
    En Hezery, sila beri comment.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Isu jalan mendap memang isu yang menghantui SKVE sejak sekian lama. Jajaran tersebut memang dikenal pasti sebagai jajaran yang bermasalah kerana sering mendap walaupun setelah pembaikan dilakukan. Masalah tersebut berpunca daripada keadaan geografi jajaran tersebut yang dibina di kawasan tanah gambut yang begitu lembut dan mudah mendap. Itu jugalah punca kenapa SKVE Seksyen 2 lewat dibuka.

      Delete