Wednesday, September 4, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 4: Jalan Tuaran FSU1 (Menggatal-Tamparuli) - Pak pak kangku do sumunsui do jambatan (Tap, tap, ku melangkah menyusuri jambatan / Tap, tap, I'm stepping along the bridge)




Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin menyambung semula pengembaraan saya ke Sabah dari 21 hingga 24 Ogos 2013, yang mana entri ini merupakan sambungan kepada perjalanan saya, teman wanita saya dan ibunya, Makcik Dayang Siti Zaleha ke Ranau melalui Jalan Lintas-Tuaran Bypass. Setelah mengharungi kesesakan bandar raya Kota Kinabalu di sepanjang Jalan Lintas-Tuaran Bypass, jalan raya kembar tersebut seterusnya bertukar menjadi Jalan Tuaran FSU1 (sebahagian Lebuhraya Pan Borneo AH150) sebaik sahaja bertemu dengan jajaran Menggatal-Kota Kinabalu yang dilencongkan keluar. Oleh kerana kami ke Ranau melalui Jalan Lintas-Tuaran Bypass dan bukannya jajaran sebenar Jalan Tuaran FSU1, maka entri kali ini hanya merangkumi jajaran dari Menggatal ke Tamparuli sahaja.

Sebaik sahaja melepasi pekan Telipok, sudah tiada lagi lampu jalan di sepanjang jalan ini, mungkin sebagai menunjukkan berakhirnya kawasan metropolitan Kota Kinabalu. Pengguna perlu memandu dengan penuh berhati-hati terutamanya pada waktu malam kerana keadaan jalan ini sudah tentunya gelap pada waktu tersebut.

Perjalanan kali beberapa kali terhenti disebabkan oleh kelompok pelumba-pelumba basikal yang menyertai kejohanan Jelajah Borneo 2013. Kebetulan hari tersebut merupakan hari terakhir bagi kejohanan tersebut, iaitu dari Kundasang ke Penampang sejauh 98.1 km melalui Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22, Jalan Tuaran FSU1 (Tamparuli-Menggatal dan Likas-Kota Kinabalu), Jalan Lintas-Tuaran Bypass (Menggatal-Likas), dan Jalan Penampang FS501 (Kota Kinabalu-Penampang). Polis trafik menutup jalan di Bulatan Telipok, Bulatan Bakut dan Bulatan Berungis bagi memberi laluan kepada kumpulan-kumpulan pelumba basikal tersebut. Sebelum tiba di Bulatan Berungis, terletaknya Hospital Tuaran yang serta baru, bagi memenuhi keperluan penduduk Tuaran, Tamparuli serta beberapa kawasan sekitarnya.

Di Bulatan Berungis, saya menemui sesuatu yang menarik perhatian saya. Jalan Tuaran bertukar kod laluan kepada FS503 pula! Sebaliknya, FSU1 dilencongkan ke arah Tamparuli, dengan andaian bahawa majoriti pengguna jalan raya yang hendak ke Kota Kinabalu datang dari arah Sandakan dan sebaliknya. Nanti sekejap, bukankah penghujung utara bagi Jalan Persekutuan 1 di Sabah terletak di Kudat? Teruskan membaca reviu ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya.

Tidak jauh sebaik melepasi Bulatan Berungis terletaknya Rumah Terbalik. Ia merupakan salah satu tarikan utama di Tamparuli kerana segala-galanya di rumah tersebut dijadikan terbalik. Sebenarnya kawasan rumah tersebut masih lagi mematuhi hukum graviti, tetapi bahan pameran diskrukan atau dibolkan untuk kelihatan seperti terbalik. Tiket masuk hanya RM10 sahaja bagi pelawat dewasa. Kami mulanya ingin ke situ, tetapi terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir agar tidak lewat tiba ke Ranau dan seterusnya pulang ke Kota Kinabalu.

Jalan raya kembar empat lorong berterusan sehingga menghampiri pekan Tamparuli. Namun, satu perkara yang saya kurang senangi ialah jalan tersebut mencerut menjadi 2 lorong (tetapi kekal jalan raya kembar) di SMK Tamparuli sebelum ia menjadi 4 lorong semula. Akibat cerutan tersebut, jalan sesak teruk setiap hari terutamanya setiap kali waktu persekolahan bermula dan berakhir. Hanya selepas Bulatan Pekan Tamparuli barulah jalan raya kembar ini berakhir secara rasminya.

Jalan Persekutuan 1 berubah menjadi jalan raya tunggal sebaik melepasi Bulatan Pekan Tamparuli. Tidak jauh dari situ terletaknya Jambatan Tamparuli yang menyeberangi Sungai Tuaran. Namun, jambatan kekuda besi tersebut bukanlah jambatan yang dipopularkan dalam lagu rakyat oleh suku kaum Kadazan Dusun; jambatan sebenar yang dimaksudkan terletak di pekan Tamparuli sendiri yang sempat kami singgah semasa perjalanan balik.

Bulatan Tamparuli adalah mercu tanda penting bagi menunjukkan bermulanya perjalanan mencabar ke Kundasang, Ranau, Telupid dan Sandakan (dan seterusnya ke Lahad Datu dan Tawau). Ia merupakan permulaan sebenar bagi Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FS22. Jalan FSU1 pula dilencongkan ke sebatang jalan raya yang sempit dan berbengkang-bengkok di sebelah kiri. Patutlah jarang ada orang yang menggunakan jalan itu untuk ke Kudat! Majoriti pemandu sebaliknya memilih untuk melalui Jalan Tuaran-Kota Belud FS503 (dan seterusnya bercantum kembali dengan FSU1 di Kampung Tenghilan).kerana keadaan jalan yang lebih lurus, lebih lebar dan lebih bagus. Maka, banyak peta yang tersalah melabelkan Jalan Tuaran-Kota Belud sebagai FSU1, sedangkan kod laluannya yang sebenar ialah FS503.

Semasa perjalanan balik pula, kami melencong ke pekan Tamparuli dan seterusnya menyaksikan Jambatan Tamparuli yang dipopularkan dalam lagu rakyat Kadasan Dusun. Jambatan tersebut sebenarnya merupakan sebuah jambatan gantung khusus untuk pejalan kaki. Menurut mitos tempatan, kononnya terdapat seorang sumandak (gadis) yang pandai menyanyi telah diculik dan dimasukkan ke dalam tempayan, kemudiannya diletakkan di bawah tiang pertama Jambatan Tamparuli agar struktur binaannya kukuh. Menurut mitos yang sama juga, kononnya jambatan tersebut terus kukuh dan tidak pernah runtuh, meskipun usia jambatan tersebut sudah lebih berpuluh tahun. Jadi tidak hairanlah jika jambatan tersebut diabadikan dalam sebuah lagu rakyat ciptaan seorang penyanyi tempatan berdarah Kadazan Dusun iaitu Justin Lusah. Di sebelahnya itu barulah terletak jambatan untuk kenderaan, tetapi jambatan tersebut sangat sempit (hanya selorong sahaja) dan terletak sebegitu rendah. Akibatnya, jambatan tersebut sangat mudah tenggelam setiap kali berlakunya banjir.

Ikuti sambungan selanjutnya di Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 pula.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Jambatan Tamparuli


Pak pak kang ku do
Sumunsui do jambatan
Jambatan do Tamparuli
Bakasut tinggi oku

Sumunsui do jambatan
Jambatan do Tamparuli
Pak pak kang ku do
Bakasut tinggi oku

Silaka nodi kasutku
Naratu lo jambatan
Tinggal poh do sutakin
Nowid ku di numuli

Ontok di hari 3
Tamu lo Tamparuli
Mingusuk poh hilo kadai
Mogihum do kasut tinggi


Terjemahan lirik dalam Bahasa Melayu

Tap, tap, ku melangkah
Menyusuri jambatan
Jambatan Tamparuli
Aku berkasut tinggi

Menyusuri jambatan
JambatanTamparuli
Tap, tap, ku melangkah
Aku berkasut tinggi

Celakalah kasutku
Terjatuh di jambatan
Hanya tinggal stokin
Yang kubawa pulang rumah

Pada hari Rabu
Tamu di Tamparuli
Aku masuk serata kedai
Mencari kasut tinggi






Persimpangan Sepanggar FS606






Bandar Sierra, bandar baru yang dibina hasil kepesatan kawasan metropolitan Kota Kinabalu






Kelibat penunggang basikal yang mengambil bahagian dalam Jelajah Borneo 2013






Bulatan Bakut sesak kerana polis menutup jalan bagi memberi laluan kepada pelumba basikal






Bulatan Berungis - Jalan ke Tuaran dan Kota Belud dari sini diwartakan sebagai FS503 dan bukannya FSU1






Bulatan Berungis ini sesak kerana ia merupakan titik pertemuan bagi lalu lintas arah ke Kudat dan Sandakan






Masih ada 77 km untuk ke Ranau dari Bulatan Berungis






Jalan berubah menjadi jalan raya tunggal sebaik melepasi Bulatan Pekan Tamparuli






Jambatan baru Tamparuli, tetapi ini bukanlah jambatan yang dimaksudkan dalam lagu rakyat Kadasan-Dusun






Bulatan Tamparuli - belok kiri untuk ke Kudat melalui jalan lama FSU1, dan jalan terus untuk ke Ranau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau melalui Jalan Persekutuan 22






Inilah Jambatan Tamparuli sebenar yang dipopularkan dalam lagu rakyat Kadazan-Dusun...






...manakala jambatan di sebelahnya pula ialah untuk kenderaan bermotor - keadaannya sempit (hanya selebar selorong sahaja) dan mudah banjir

No comments:

Post a Comment