Thursday, May 30, 2013

Apa Kejadahnya: Cuai, lebih muatan, tiada inisiatif membina jalan raya punca tragedi bot karam di Batang Rajang / What The Hell: Carelessness, overload, no initiative to build roads are culprits of the sunken boat tragedy at Batang Rajang



Tragedi bot ekspres karam di Batang Rajang pada 28 Mei 2013

Salam sejahtera,

Kelmarin (28 Mei 2013), kita dikejutkan dengan satu tragedi bot ekspres karam di Batang Rajang dekat Jeram Tukok, 40 minit perjalanan dari Belaga, akibat terlebih muatan. Ia merupakan kes bot karam kedua di Sarawak sejak 2010. Lebih mendukacitakan, tragedi berkenaan berlaku ketika orang ramai berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman sempena perayaan Hari Gawai hujung minggu ini. Tiga punca utama yang membawa kepada tragedi berkenaan ialah kecuaian pemandu bot itu sendiri, muatan berlebilan sehingga lebih tiga kali ganda kapasiti maksimumnya, serta ketiadaan inisiatif oleh kerajaan negeri Sarawak bagi membangunkan rangkaian jalan raya di Bahagian Kapit, yang merupakan bahagian paling mundur di Sarawak.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Kapit adalah satu-satunya bahagian di Sarawak yang terputus hubungan sepenuhnya daripada rangkaian jalan raya Semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, Sarawak sememangnya merupakan negeri paling mundur pada masa itu, dibuktikan melalui ketiadaan rangkaian jalan raya antarabandar hatta jalan tanah merah sekalipun. Sehubungan dengan itu, kerajaan persekutuan telah mengambil inisiatif membina Lebuhraya Pan Borneo bagi menghubungkan Sarawak dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat. Kini, lima dekad sudah pun berlalu, dan banyak kawasan yang mula membangun hasil daripada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, termasuklah Mukah dan Kota Samarahan yang tidak dilalui terus oleh lebuh raya tersebut tetapi melalui beberapa jalan cabang. Namun demikian, setelah lima dekad, Kapit kekal tidak dihubungi oleh mana-mana jalan raya, meskipun penduduk bandar Kapit kini sudah mencecah lebih kurang 60,000 penduduk. Maka, satu-satunya pengangkutan untuk ke Kapit ialah melalui bot ekspres.

Penggunaan feri dan bot ekspres bukanlah baru dalam sejarah Malaysia. Feri Pulau Pinang itu sendiri merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia dan masih beroperasi meskipun Jambatan Pulau Pinang sudah lama dibuka pada tahun 1985. Malah, Muar sendiri pun pernah mempunyai perkhidmatan feri sungai sebelum Jambatan Sultan Ismail FT5 dibina. Maka, perkhidmatan feri adalah amat penting sebagai persiapan awal sebelum pembangunan rangkaian jalan raya, memandangkan kos modalnya yang lebih rendah daripada pembinaan jalan raya dan jambatan. Namun, ia bukanlah bermakna sesuatu feri penumpang boleh bertahan selama-lamanya untuk menangani kadar ADT yang semakin meningkat saban tahun. Jika kadar ADT semakin meningkat, maka sudah tentulah terdapat kecenderungan bagi feri untuk mengangkut muatan berlebihan, sekaligus mengancam nyawa penumpang. Keadaan tentunya semakin terus semasa cuaca buruk, berikutan keadaan sungai yang berarus kuat. Kedua-dua keadaan tersebut membawa kepada risiko bot karam yang begitu tinggi, ada kalanya boleh memakan korban yang ramai. Sebab itulah perkhidmatan bot ekspres dan feri sungai mestilah digantikan secara beransur-ansur dengan kenderaan darat bermotor melalui pembinaan rangkaian jalan raya yang bagus dan cekap.

Apa yang saya amat kesalkan ialah kerajaan negeri Sarawak lebih berminat membuncitkan perut Ketua Menteri serta ahli-ahli dewan undangan negerinya (ADUN) melalui kenaikan gaji tiga kali ganda, sedangkan pembinaan jalan raya serta infrastruktur asas kepada rakyat seperti sekolah dan klinik kerajaan tidak pula berkembang tiga kali ganda lebih pesat. Wang rakyat yang digunakan bagi kenaikan gaji Ketua Menteri serta ADUN-ADUNnya itu sepatutnya digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, klinik kerajaan serta jalan raya, bukannya membiayai gaya hidup mewah para pembesar negeri! Apa, tidak cukup besarkah kereta Rolls-Royce Phantom yang digunakan oleh Pehin Sri Taib Mahmud sehinggakan gajinya "perlu" dinaikkan sehingga tiga kali ganda? Tatkala rakyat di pedalaman menggadaikan nyawa mengharungi kederasan arus Batang Rajang setiap hari demi mendapatkan sesuap nasi mahupun pendidikan asas di sekolah, para pembesar negeri pula bersenang-lenang bermewah-mewahan menggunakan wang rakyat. Mana perginya keadilan?

Cuba bandingkan dengan Sabah yang berjiran dengannya. Sabah pun sama-sama menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Keadaan di Sabah juga agak jauh ketinggalan berbanding Semenanjung. Namun, keadaan sudah jauh berubah selepas lima dekad menyertai Malaysia. Perkembangan jalan raya di Sabah juga jauh lebih pesat daripada Sarawak. Buktinya ialah pembinaan banyak jalan raya utama seperti Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, Lebuhraya Kota Kinabalu-Sandakan FT22, Lebuhraya Tawau-Semporna FT13/SA51, Lebuhraya Sapi Nangoh, Lebuhraya Kimanis-Keningau, Lebuhraya Tenom-Sipitang, dsb. Malah, harapan baru terpancar semula pada projek Jalan Kalabakan-Sepulot yang bermasalah, apabila projek menurap jalan raya bermasalah itu berjalan dengan lancar setakat Februari 2013. Namun, bagaimana pula dengan Sarawak? Tatkala Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa sasaran liputan jalan raya 95% bakal dicapai menjelang tahun 2015, angka tersebut sebenarnya jauh panggang dari api. Ia terbukti apabila masih ada sebegitu banyak kawasan pedalaman Sarawak yang tidak diliputi rangkaian jalan raya.

Saya masih boleh terima sekiranya kawasan terpencil seperti Bario dan Ba'kelalan belum diliputi rangkaian jalan raya. Namun, saya sama sekali tidak boleh terima sekiranya pekan-pekan dan bandar-bandar penting seperti Song, Kapit dan Belaga tidak diliputi jalan raya sama sekali. Lima dekad sudah berlalu, dan ia bukanlah satu jangka masa yang singkat, tetapi langsung tiada sebarang inisiatif daripada kerajaan negeri Sarawak untuk membina jalan raya berturap ke bandar-bandar tersebut. Jadi apa yang dibuat dengan peruntukan jalan raya selama ini? Kena songlap? Sepatutnya dalam masa 50 tahun ini sepatutnya sudah ada jalan raya berturap sebagai jalan masuk ke bandar-bandar ini. Rakyat di sana tidak meminta jalan raya super two untuk ke kampung halaman mereka, jauh sekali lebuh raya ekspres, tetapi sekurang-kurangnya cukuplah dengan sebuah jalan raya dua lorong asas yang cukup selesa sebagai penghubung dengan dunia luar. Itu sahaja. Susah sangatkah hendak memenuhi janji membawa pembangunan ke Sarawak? Cuba lihat Lebuhraya Sapi Nangoh, ia bukti jelas akan komitmen kerajaan negeri Sabah dalam membangunkan kawasan mundur di pantai timur laut Sabah. Jalan raya tersebut sangat ringkas, iaitu jalan raya JKR R3 dua lorong yang dibina mengikut kontur bentuk muka bumi bagi meminimakan kos kejuruteraan demi menyajikan satu infrastruktur asas kepada rakyat, sungguhpun terpaksa melalui lebih 200 km tanpa sebarang pekan. Kenapa komitmen yang sama tidak pula ditunjukkan di Sarawak? Alasan yang sering dimainkan ialah "bentuk muka bumi yang sukar untuk dibina jalan raya". Adakah Sabah dan Semenanjung mengalami iklim yang berbeza daripada Sarawak? Ketiga-tiganya sama-sama mengalami iklim Khatulistiwa, cuma berbeza taburan hujan. Maka, tiada alasan kenapa jalan raya tidak boleh dibina di Sarawak. Jadi, mahu tunggu berapa ramai lagi yang mati karam di Batang Rajang barulah kerajaan negeri terhegeh-hegeh mengambil tindakan membina jalan raya? Jika kerajaan negeri betul-betul ada inisiatif membina jalan raya di kawasan terpencil sejak awal-awal lagi, maka tragedi sebegini sudah tentu tidak akan berlaku.

Tambah memburukkan keadaan, sebuah stesen TV swasta membuat dakwaan dangkal kononnya perkhidmatan bot ekspres popular kerana tambangnya yang murah. Hakikatnya, penduduk di sepanjang Lembah Rajang terpaksa menggunakan jalan sungai kerana itu sahajalah satu-satunya pengangkutan yang ada untuk ke dunia luar. Maka, jika sudah ada jalan raya, sudah tentulah tiada siapa pun yang sanggup memperjudikan nyawa mengharung arus ganas Batang Rajang dan memilih untuk berkereta atau bermotosikal. Sebelum itu, stesen TV yang sama juga telah membangkitkan kemarahan orang-orang Bintulu apabila mendakwa kononnya bandar yang kaya dengan minyak itu mundur. Akibatnya, berita-berita dari stesen TV berkenaan semakin hilang kredibilitinya serta tidak lagi boleh diharap. Inilah padahnya apabila tidak membuat kajian sebelum membuat sebarang kenyataan.

Oleh itu, saya amat mengharapkan agar pelantikan Datuk Haji Fadillah Haji Yusof sebagai Menteri Kerja Raya yang baru dari kalangan anak watan Sarawak agar dapat menjadi wadah bagi mewakili suara warga Sarawak yang dahagakan pembangunan. Di samping itu juga, saya amat berharap agar Datuk Haji Fadillah juga berupaya meneruskan Dasar Memartabatkan Jalan Raya Malaysia dan menguatkuasakannya di Sarawak. Terus-terang saya katakan, dari segi pelaksanaan dasar berkenaan, Sarawak terletak di tangga tercorot, dan ia dibuktikan melalui papan-papan tanda jalan raya Sarawak sendiri yang tidak diseragamkan mengikut piawaian serta tidak ubah seperti papan tanda murahan semata-mata. Maka, jika papan tanda selaku komponen paling asas dalam Dasar Memartabatkan Jalan Raya pun tak betul, maka keadaannya samalah seperti seorang askar berpangkat Jeneral yang langsung tidak tahu berkawad. Dengan kata lain, jika penggunaan papan tanda pun tak betul dan tak mengikut piawaian, maka bagaimana pihak yang berkenaan itu hendak diharapkan untuk menyediakan infrastruktur jalan raya yang baik dan berkualiti kepada rakyat tanpa sebarang skandal korupsi? Jangan sampai bila rakyat hendak menghukum kealpaan kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan memangkah parti pembangkang pada pilihan raya akan datang barulah hendak terhegeh-hegeh hendak membina jalan, kerana segala-galanya sudah pun terlambat pada masa itu. Oleh itu, hargailah nikmat diberikan mandat untuk mentadbir untuk sepenggal lagi dengan sebaik-baiknya melalui pembinaan infrastruktur asas kepada rakyat sebagai tanggungjawab fardu kifayah.

No comments:

Post a Comment