Sunday, December 30, 2012

Pakaian keselamatan motosikal / Motorcycle safety clothing



Pakaian motosikal yang anda sepatutnya pakai (di sebelah kanan) vs pakaian yang tidak sesuai (di sebelah kiri).
Gambar asal oleh: Yayasan Keselamatan Motosikal


Salam sejahtera,

Dalam entri yang lalu, saya ada menyiarkan berita mengenai kadar kemalangan berulang-alik yang kini semakin meningkat ke tahap yang membimbangkan. Apa tidaknya, kecederaan dan kematian yang berpunca daripada kemalangan berulang-alik ini bukan sahaja menyebabkan seseorang atau sesebuah keluarga hilang mata pencarian, malah ia juga menyebabkan kerugian kepada majikan kerana hilangnya modal insan yang sukar didapati dengan mudah dan serta-merta. Kematian akibat kemalangan berulang-alik juga turut menyebabkan kerugian kepada negara kerana negara bukan sahaja kehilangan sumber modal insan yang berupaya memajukan negara, malah ia turut memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, berikutan pasaran dalam negara yang mengecil akibat kemalangan maut.

Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan mangsa kemalangan terdiri daripada penunggang motosikal. Penunggang motosikal mempunyai risiko kemalangan jalan raya 17 kali ganda lebih tinggi daripada pemandu kereta, dan lebih 2/3 daripada jumlah kemalangan yang melibatkan motosikal bukan berpunca daripada penunggang motosikal sendiri, tetapi angkara segelintir pemandu beroda empat yang melanggar peraturan jalan raya. Dengan kata lain, penunggang motosikal ibarat timun manakala pemandu kereta pula ibarat durian, digelek pun luka, menggelek pun luka. Maka tidak hairanlah jika penunggang motosikal menjuarai statistik kemalangan berulang-alik.

Jadi bagaimana pula penunggang motosikal hendak melindungi diri mereka daripada nahas jalan raya? Satu-satunya cara bagi melindungi penunggang motosikal adalah tunggangan defensif, dan pakaian yang bersesuaian adalah sebahagian daripada tunggangan defensif. Pakaian keselamatan terbaik untuk melindungi penunggang motosikal sudah tentunya sut perlumbaan penuh yang berharga ribuan ringgit, tetapi majoriti penunggang motosikal tentunya tidak mampu untuk memilikinya. Jadi apa pula pakaian alternatif yang anda boleh pakai? Biar saya senaraikan pakaian yang sedikit-sebanyak berupaya melindungi anda (walaupun tidak sehebat sut perlumbaan) tetapi dalam masa yang sama mampu untuk dimiliki:-

  1. Topi keledar - Sebagaimana yang anda sedia maklum, pemakaian topi keledar diwajibkan kepada semua penunggang motosikal bagi melindungi kepala anda daripada kecederaan. Pilih topi keledar berkualiti yang cukup tebal serta mempunyai pelekat SIRIM. Saya paling syorkan sekurang-kurangnya topi keledar separuh muka. Pastikan topi keledar tersebut mempunyai pelindung muka (visor) bagi melindungi mata dan muka anda daripada serangga, batu-batu halus, puing-puing serta habuk yang dilayangkan ke arah anda. Tukar visor tersebut dengan kerap untuk memastikan penglihatan anda di tahap terbaik. Jangan sekali-kali menggunakan topi keledar "tempurung" kerana ia tidak berupaya untuk melindungi seluruh kepala anda. Jika anda pernah terlibat dalam kemalangan, tukar topi keledar kerana topi keledar yang lama mungkin sudah mengalami kegagalan struktur akibat hentakan yang kuat. Juga, pastikan topi keledar anda diikat cukup ketat kerana jika anda tidak mengikat tali topi keledar dengan betul, topi keledar boleh terlucut dari kepala anda, menyebabkan kepala anda terdedah kepada risiko kecederaan parah.
  2. Jaket - Pemakaian jaket yang bersesuaian berupaya melindungi tubuh anda sekiranya anda terjatuh dari motosikal semasa kemalangan dengan meminimakan impak yang diterima. Jaket perlumbaan yang sering dipakai oleh penunggang superbike mempunyai banyak lapisan perlindungan yang dibuat daripada kevlar atau bahan-bahan lain untuk melindungi penunggang daripada kecederaan pada kelajuan lebih 250 km/j. Bagi motosikal biasa, saya cadangkan agar anda memakai sekurang-kurangnya jaket kulit yang kalis air serta cukup tebal. Untuk membolehkan anda lebih mudah dilihat oleh kenderaan lain, pastikan jaket tersebut berwarna terang dilengkapi jalur pemantul cahaya; jika tiada, pakailah vest keselamatan berpemantul cahaya. Lampu pencahayaan siang juga turut membantu.
  3. Sarung tangan - Tindakan refleks terawal oleh penunggang motosikal semasa berlaku kemalangan jalan raya ialah meletakkan tapak tangan ke permukaan jalan atau tanah. Jika anda tidak memakai sarung tangan, tapak tangan anda boleh cedera akibat bergeser dengan permukaan jalan. Sarung tangan juga berupaya melindungi jari-jemari anda daripada kesejukan yang boleh mengganggu pengendalian alat kawalan motosikal seperti genggam pendikit, brek, suis lampu serta suis lampu isyarat membelok.
  4. Seluar - Pakailah seluar panjang yang cukup tebal bagi melindungi betis dan paha anda daripada kecederaan. Jangan hanya berseluar pendek sahaja kerana kaki anda tidak dilindungi sama sekali.
  5. Kasut - Kasut motosikal yang bagus mestilah cukup tebal supaya berupaya melindungi kaki anda daripada kecederaan. Paling baik, carilah kasut yang mempunyai lapisan keluli di bahagian hadapan bagi melindungi jari-jemari kaki anda. Kasut juga berperanan melindungi kaki anda daripada melecet semasa menukar gear bagi motosikal yang menggunakan sistem gear anjakan ke atas (gear sungkit). Jangan sekali-kali memakai selipar Jepun semasa menunggang kerana ia sama sekali tidak berupaya melindungi kaki anda daripada kecederaan.
Kesimpulannya, pakailah pakaian yang bersesuaian ketika menunggang motosikal demi keselamatan anda. Anda sepatutnya memakai topi keledar separuh atau penuh muka dengan visor, jaket, sarung tangan, seluar panjang yang cukup tebal serta kasut bagi melindungi diri anda ketika menunggang motosikal, bukannya sekadar memakai T-shirt, topi keledar "tempurung", seluar pendek dan selipar Jepun ketika menunggang. Saya akui memang pakaian yang saya sarankan itu agak merimaskan terutamanya ketika cuaca panas, tetapi ia lebih baik daripada anda mati katak kerana tiada perlindungan daripada ancaman nahas jalan raya. Akhir kata, ingatlah orang yang tersayang.

No comments:

Post a Comment