Tuesday, November 27, 2012

Mythbuster: Had laju motosikal 60 km/j selamatkan nyawa - Mitos terbukti karut! / 60 km/h motorcycle speed limit saves lives - Myth busted!



Stiker "Had Laju 60 km/j Selamatkan Nyawa" (kredit kepada: Syukri Nazeri)


Salam sejahtera,

Beberapa tahun dahulu, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) pernah melancarkan kempen had laju motosikal 60 km/j hasil kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) yang mendapati bahawa had laju motosikal yang lebih rendah membantu mengurangkan kadar kemalangan motosikal. Dalam entri pertama Mythbuster di Blog Jalan Raya Malaysia, mari kita kaji sama ada ia satu fakta ataupun sekadar mitos auta.

Sebagaimana yang kita ketahui, penunggang motosikal adalah golongan yang paling berisiko berdepan dengan kemalangan jalan raya jika dibandingkan dengan kenderaan lain. Ia terbukti dalam statistik kemalangan jalan raya di Malaysia apabila kebanyakan kes kemalangan jalan raya (termasuklah kemalangan maut) adalah melibatkan penunggang motosikal. Sehubungan dengan itu, banyak pihak telah membuat kajian bagi mengenal pasti punca utama nahas melibatkan penunggang motosikal.

Menurut hasil kajian tahun 1999 oleh Miros, didapati majoriti (35.1%) kematian akibat nahas melibatkan penunggang motosikal berlaku di jalan raya yang had lajunya 70 km/j, diikuti dengan 24.3% kematian berlaku di jalan raya yang had lajunya 50 km/j. Oleh itu, Miros membuat kesimpulan bahawa kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal akan turun jika had laju motosikal yang lebih rendah dikenakan. Namun, adakah had laju motosikal yang rendah itu benar-benar relevan? Di samping itu, adakah had laju yang lebih rendah itu boleh menurunkan kadar nahas di kalangan penunggang motosikal secara mutlak?

Hasil kajian Miros tersebut, maka JKJR mencadangkan agar had laju maksimum 60 km/j dikenakan pada penunggang motosikal. Miros mendakwa bahawa had laju 60 km/j itu membolehkan motosikal dikawal dengan lebih mudah terutamanya ketika berhenti mengejut (memandangkan kebanyakan motosikal kapcai masih lagi menggunakan brek gelendong depan dan belakang, dengan andaian penunggang malas menyelenggara brek gelendong tersebut). Kempen tersebut dimulakan pada tahun 2008 melalui kempen-kempen serta pengedaran pelekat kepada penunggang motosikal. Selain itu, JKJR turut cuba melobi kerajaan agar had laju motosikal 60 km/j itu dikuatkuasakan. Namun, pada Disember 2008, kerajaan persekutuan telah membuat keputusan untuk tidak menguatkuasakan had laju motosikal 60 km/j itu. Tambahan pula, majoriti komuniti penunggang motosikal rata-ratanya membantah cadangan had laju yang begitu rendah itu.

Kenapa boleh jadi begitu?

Secara logiknya, memang benar semakin laju sesebuah kenderaan itu dipandu, maka semakin sukar kenderaan tersebut untuk dikawal, jadi kenderaan tersebut semakin cenderung berdepan risiko kemalangan. Ia boleh diterangkan melalui rumus momentum mudah p = mv, di mana p mewakili momentum (dalam newton sesaat), m mewakili jisim (kg) dan v mewakili halaju (meter sesaat). Rumus lain yang boleh digunakan ialah F = ma, di mana F mewakili daya momentum (newton), m mewakili jisim (kg) dan a mewakili pecutan (dalam unit meter/saat kuasa dua). Namun, satu perkara yang mungkin terlepas pandang oleh Miros semasa melakukan kajian mereka ialah kesan perlanggaran semasa motosikal itu ditunggang pada kelajuan rendah dan tinggi.

Bagi mengkaji kesan perlanggaran itu, kita cuba ambil dua senario berbeza. Senario pertama ialah kereta pada kelajuan 110 km/j melanggar motosikal pada kelajuan 90 km/j dari arah belakang di lebuh raya, manakala senario kedua pula hampir sama seperti senario pertama kecuali motosikal tersebut dilanggar semasa menunggang pada kelajuan 60 km/j. Mana yang lebih teruk? Jika dilakukan perbandingan, maka motosikal yang dilanggar dari arah belakang semasa menunggang pada kelajuan yang lebih perlahan sudah tentunya akan menerima kesan yang lebih parah.

Sementara Miros mendapati bahawa penunggang motosikal lebih cenderung mengalami kemalangan pada kelajuan lebih tinggi, Royal Safety for the Prevention of Accidents (RoSPA) pula mendapati keputusan sebaliknya pada hasil kajian mereka. RoSPA mendapati bahawa kebanyakan kemalangan berlaku pada jalan yang had lajunya lebih rendah, walaupun penunggang masih lebih cenderung mengalami kemalangan maut pada had laju yang lebih tinggi. Sementara itu, motorists.org pula mendapati bahawa penurunan had laju langsung tidak memberi kesan terhadap kadar nahas jalan raya.

Apa yang saya bentangkan setakat ini ialah hasil kajian para penyelidik, tetapi bagaimana pula dengan penerangan yang lebih mudah difamahi? Setiap kali anda memasuki lebuh raya kendalian Plus Expressways Berhad, selalunya anda akan terjumpa papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan (basikal, beca, kereta lembu, penggelek jalan, dsb.) daripada memasuki lebuh raya. Kenapa kenderaan tersebut dilarang daripada memasuki lebuh raya ekspres? Jawapannya mudah sahaja - untuk mengelakkan daripada kemalangan yang berpunca daripada kenderaan yang bergerak perlahan ini. Anda bayangkan, apa akan jadi jika sebuah kereta yang dipandu laju di lebuh raya tiba-tiba terserempak dengan kenderaan bergerak perlahan ini? Sudah tentulah pemandu kereta itu akan hilang kawalan dan merempuh belakang kenderaan perlahan tersebut, meskipun kereta tersebut dipandu pada had laju lebuh raya 110 km/j. Sekurang-kurangnya kereta lembu, beca dan penggelek jalan adalah besar dan mudah dilihat. Bagaimana pula jika kenderaan bergerak perlahan itu adalah motosikal kapcai yang ditunggang pada 60 km/j gara-gara terlalu ikutkan saranan Miros itu? Sudah tentulah nahas tidak dapat dielakkan kerana motosikal kapcai lebih sukar dilihat dengan jelas.

Selain impak perlanggaran, had laju 60 km/j yang dicadangkan itu juga turut memberi kesan buruk kepada penunggang motosikal kerana ia menyebabkan penunggang lebih cenderung berasa letih dan mengantuk. Anda bayangkanlah, had laju 60 km/j itu menjadikan sesebuah perjalanan itu dua kali ganda lebih lama daripada sepatutnya. Jika di lebuh raya pula sudah tentulah keadaan menjadi lebih teruk; penunggang yang menunggang pada kelajuan 60 km/j di lebuh raya lebih cenderung mengalami hipnosis lebuh raya akibat pemandangan lebuh raya yang seakan sama dan tiada perubahan, menyebabkan tumpuan penunggang menjadi merosot.

Hasil kajian kali ini maka jelaslah bahawa had laju 60 km/j sebenarnya tidak berupaya menyelamatkan nyawa penunggang seperti didakwa. Sementara ia membantu mengurangkan impak perlanggaran secara berdepan, had laju yang lebih rendah itu sebenarnya hanya menambah parah kesan perlanggaran dari arah belakang. Selain itu, had laju motosikal yang lebih rendah juga menyebabkan penunggang mudah letih dan mengantuk, di samping mengurangkan tumpuan penunggang akibat hipnosis lebuh raya. Memandangkan had laju 60 km/j itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat, maka mitos "Had Laju 60 km/j Selamatkan Nyawa" terbukti KARUT!

3 comments:

  1. totally agreed with your opinions..jgn memandu terlalu perlahan kerana akan menyusahkan orang ramai..Saya ada cadangan untuk saudara.
    apa kata saudara cuba mengkaji bagaimana untuk menggunakan Gmaps sepenuhnya. Saya ada menghadapi masalah dalam mencari jalan yang hanya mempunyai KM sahaja, dan KM tersebut tidak dijumpai oleh Google. Saudara boleh membuat entri tentang perihal ini dan sekaligus membantu saya dalam mencari jalan tersebut.

    berikan saya jalan?..

    2013 forecast in tech world

    KKU et.al

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamat yang hanya berasaskan KM memang menyukarkan kerana kita tidak tahu dari mana kilometer tersebut dikira. Akibatnya lokasi tersebut tentunya kabur dan menimbulkan khilaf. Contohnya, Pusat Operasi Gas Segamat beralamat di KM7 Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, sedangkan lokasi sebenar ialah KM5; KM7 sebenarnya dikira dari Pejabat Pos Segamat.

      Delete
  2. Berikut merupakan kenyataan balas daripada MIROS berkenaan dakwaan halaju 60 km/j motosikal selamatkan nyawa.

    https://careta.my/article/miros-nafi-dakwaan-laporan-media-sosial-berkenaan-halaju-60-kmj-motosikal-selamatkan-nyawa
    https://www.facebook.com/caretadotmy/posts/2045487095543781

    ReplyDelete