Tuesday, October 2, 2012

Jalan kampung: Sepintas lalu / Country lane: Overview



Salam sejahtera,

Baru-baru ini, pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah telah mengongsikan rencana mengenai Jalan Pogoh J41 di laman Facebook mereka. Hasilnya, rencana Jalan Pogoh tersebut berjaya memperoleh 100 pembaca dalam masa beberapa jam sahaja selepas ia mula disiarkan. Jutaan terima kasih saya ucapkan buat pihak DUN Kemelah.

Bagi menyokong program memajukan kawasan luar bandar yang dijalankan di seluruh negara termasuklah DUN Kemelah, kali ini saya bawakan serba-sedikit mengenai infrastruktur asas yang wajib ada bagi setiap kampung iaitu jalan kampung. Tanpa jalan kampung, maka terputuslah hubungan kampung tersebut dengan dunia luar. Untuk pengetahuan anda, jalan kampung ini terletak dalam bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana.

Dari segi hirarki jalan raya, jalan kampung terletak pada kedudukan yang paling bawah, bersama-sama jalan perumahan. Kenapa pula ia diletakkan paling bawah dalam hirarki jalan raya? Jalan kampung lazimnya tiada kawalan masuk, bermakna rumah-rumah, kebun-kebun, tanah serta premis lain boleh dihubungkan secara terus pada jalan kampung tanpa sebarang perantara. Ia berfungsi sebagai jalan pengumpul atau jalan tertier untuk menghubungkan penduduk kampung dengan jalan raya utama. Sifat sebegitu menyebabkan had laju jalan kampung adalah rendah, iaitu antara 20-40 km/j untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan yang keluar masuk ke premis masing-masing. Selain itu, majoriti pengguna jalan terdiri daripada penduduk kampung itu sendiri, menyebabkan kadar aliran trafik yang minima serta kurang kenderaan yang berselisih. Saya akan terangkan lebih lanjut mengenai hirarki jalan dalam rencana akan datang.

Secara amnya, binaan jalan kampung adalah amat ringkas. Asalnya, jalan kampung dibina hasil "rawatan permukaan", iaitu mengenal pasti denai perintis dan memadatkan tanah. Evolusi jalan kampung seterusnya ialah sebagai jalan batu kerikil tidak berturap dan seterusnya jalan batu kerikil berturap. Sekarang, jalan kampung dibina menggunakan prosedur yang sama seperti jalan raya biasa iaitu dengan memadatkan tanah, menambahkan lapisan batu kerikil serta menurap dengan turapan tarmak 'premix'. Satu-satunya perbezaan pembuatan jalan kampung dengan jalan raya biasa ialah ketebalan setiap lapisan, sesuai dengan kadar aliran trafik.

Kebanyakan jalan kampung dibina sebagai jalan raya selorong, di mana lorong tunggal tersebut dikongsi bersama oleh lalu lintas dari kedua-dua arah. Oleh kerana itu, lebar minimum jalan yang ditetapkan ialah 5 meter termasuklah bahu jalan untuk membolehkan kenderaan dari kedua-dua arah berselisih dengan selamat. Sebab itulah jalan kampung selalunya tiada rizab jalan. Namun, ada segelintir penduduk kampung yang mementingkan diri sendiri serta mengambil kesempatan sifat jalan kampung ini dengan mengambil kawasan tanah mereka yang dilalui jalan kampung tersebut dan seterusnya mengalihkan jalan itu. Sikap mementingkan diri tersebut tentunya menyusahkan penduduk kampung yang lain kerana lencongan jalan kampung tersebut selalunya dibina semula oleh pihak lain (bukan JKR) dengan keadaan yang tidak begitu sempurna (berlubang, mendap, dsb.).

Selain papan tanda nama jalan, selalunya tidak banyak papan tanda serta perabot jalan yang dipasang. Memang ada yang dipasang papan tanda, tetapi kebanyakan papan tanda tersebut sering menjadi mangsa vandalisme serta sindiket curi besi. Selain papan tanda, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah turut mengambil inisiatif memasang lampu jalan di jalan-jalan kampung. Namun, bilangan lampu jalan yang dipasang agak terhad (seperti di simpang jalan, masjid dan balai raya) dan bergantung kepada peruntukan yang disediakan. Oleh itu, adalah baik jika penduduk kampung mengambil inisiatif memasang lampu jalan individu sebagai pelengkap kepada lampu-lampu jalan yang dipasang oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Asalnya, lampu jalan yang dipasang berkadaran 75 watt sebelum lampu 150 watt yang lebih terang digunakan. Lampu-lampu yang dipasang oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah adalah dari jenis lampu jalan individu yang dipasang pada tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad dan ditandakan pada tiang.

Baru-baru ini saya menemui satu laman sesawang pangkalan data senarai jalan kampung di negeri Johor oleh Infra Desa Johor, yang boleh dicapai di sini.

No comments:

Post a Comment